Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Mohamed Shamir Abdul Aziz. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Mohamed Shamir Abdul Aziz. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) akan memberi tumpuan membantu usahawan mikro atau digelar sebagai Sahabat di bawah seliaannya, sekali gus menyasarkan RM2.6 bilion pembiayaan disalurkan kepada 416,617 peminjam tahun ini.

Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, daripada sasaran itu, jumlah pembiayaan sebenar yang dikeluarkan bermula Januari hingga April 2020 sebanyak RM606.46 juta kepada 29,586 orang Sahabat.

Katanya, sejak penubuhan AIM pada 17 September 1987, Sahabat yang dibantu menerusi skim pembiayaan yang ada berjumlah 943,562 orang.

"Ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada 4.72 juta isi rumah.

"Sejak pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami dapati bukan saja usahawan mikro terjejas, malah ramai peniaga terkesan.

"Oleh itu, AIM akan memberi tumpuan kepada latihan dalam bentuk kemahiran perniagaan secara digital dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan Sahabat mengenai pentingnya strategi pemasaran perniagaan atas talian.   

"Malah, kami juga akan memperkasakan platform pemasaran dan e-dagang Sahabat Bazar bagi memastikan lebih ramai Sahabat mendapat manfaat untuk memasarkan produk mereka," katanya kepada Bisnes Metro.  

Mohamed Shamir berkata, selain itu AIM turut mewujudkan Pakej Rangsangan Ekonomi yang mencakupi lapan perkara utama bagi membantu 373,815 Sahabat di bawahnya.

Menurutnya, sebanyak RM555 juta dapat dimanfaat Sahabat apabila AIM memberi penangguhan kutipan bayaran balik mingguan sehingga 7 Jun 2020 (penambahan terkini yang dilakukan).

Beliau berkata, tiada sebarang caj atau simpanan wajib dikenakan sepanjang tempoh PKP diumumkan.

"AIM memahami kesukaran yang dialami Sahabat, justeru kami menawarkan kebenaran pengeluaran Simpanan Wajib (SW) dengan had maksimum RM300 seorang membabitkan sejumlah RM112.5 juta.

"Pakej seterusnya ialah pengagihan zakat perniagaan Koop Sahabat berjumlah RM621,104, dana bantuan kebajikan AIM berjumlah RM2.6 juta dan dana faedah korporat AIM berjumlah RM1.14 juta kepada 17,444 Sahabat asnaf terpilih. "Masing-masing akan menerima RM250 seorang dan ia membabitkan dana berjumlah RM4.37 juta," katanya.

Beliau berkata, AIM juga membuat penangguhan bayaran ansuran i-Lestari dan i-Usahawan Koop Sahabat selama tiga bulan membabitkan 400 peminjam berjumlah RM300,000 dan tiada caj tambahan dikenakan.  

Selain itu, AIM turut menangguhkan lelongan Sahabat Ar-Rahnu membabitkan sebanyak 1,500 peminjam atau pencagar setakat in dengan jumlah cagaran sebanyak RM120,000 sehingga tamat tempoh PKP.

"Kami juga memperuntukkan Pinjaman Tabung Kumpulan (PTK) membabitkan 10,000 Sahabat AIM dengan had maksima RM1,000 setiap pinjaman membabitkan jumlah keseluruhan RM10 juta.

Mohamed Shamir berkata, bukan setakat menyediakan pakej terbabit, AIM turut membantu usahawan melalui pembiayaan semula, penjadualan semula pembiayaan, tangguh bayaran balik pembiayaan (TBB) dan menawarkan pembiayaan i-Penyayang.

"Semua bantuan ini disediakan untuk membantu Sahabat yang menghadapi masalah kegagalan projek ekonomi disebabkan oleh bencana alam, kejatuhan ekonomi, isu kekeluargaan, kelemahan pengurusan perniagaan atau faktor lain luar kawalan.

"Dari sudut ekonomi, mahu atau tidak kami akui ia memberi impak yang teruk kepada peniaga. Namun, pemulihan ekonomi dan  kehidupan dengan norma baharu yang digariskan perlu dilaksanakan dengan segera.

"Kita harus terus bangkit dan terus mencari peluang baharu dengan cara lebih relevan dengan keadaan semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 7:00 AM