Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyediakan pembiayaan pinjaman sebanyak RM1.532 bilion kepada 203,069 usahawan mikro di seluruh negara ini sepanjang tahun ini.

Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz berkata, pihaknya juga menyasarkan 61 peratus pembiayaan kepada usahawan membabitkan sebanyak RM2.7 bilion yang ditetapkan hingga akhir tahun ini.

Katanya, berlaku peningkatan pembiayaan yang dibuat usahawan setiap tahun, bagaimanapun tahun ini berlaku peningkatan luar biasa iaitu meningkat sehingga 24 peratus sekali gus memberi maksud keyakinan dan keperluan masyarakat kepada AIM.

"Mungkin kerana ekonomi yang tidak menentu membuatkan usahawan AIM lebih ramai mahu berniaga untuk membantu keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Tuisyen untuk anak sahabat usahawan AIM bersempena Karnival Sahabat Usahawan Madani AIM Wilayah Terengganu di The Payang Scout Hotel, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu dirasmikan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Turut hadir, Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid.

Shamir berkata, walaupun AIM tidak menggunakan penjamin, cagaran dan pemungut hutang tapi usahawan membuktikan mampu membayar balik setiap minggu.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapati kadar bayaran balik pembiayaan juga sangat baik sehingga mencapai 99.4 peratus.

"Kadar bayaran balik adalah 99.4 peratus dan ia adalah yang terbaik walaupun dalam keadaan pasca pandemik Covid-19 yang berlaku di negara ini.

"Mengikut rekod terdapat seramai 320,000 Sahabat AIM di seluruh negara terutama membabitkan ibu tunggal dan golongan B40 yang paling ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 3:28 PM
SHAMIR Aziz pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Tuisyen untuk anak sahabat usahawan AIM bersempena Karnival Sahabat Usahawan Madani AIM Wilayah Terengganu di The Payang Scout Hotel. FOTO Faizul Azlan Razak
SHAMIR Aziz pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Tuisyen untuk anak sahabat usahawan AIM bersempena Karnival Sahabat Usahawan Madani AIM Wilayah Terengganu di The Payang Scout Hotel. FOTO Faizul Azlan Razak