Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Peruntukan sebanyak RM200 juta bagi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) yang dibuka kepada usahawan sejak 1 Januari lalu sudah selesai diagihkan kepada 31,000 usahawan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya berharap bantuan pembiayaan yang disalurkan menerusi Tekun Nasional itu dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh usahawan yang menjalankan perniagaan.

"Buat masa ini untuk itu (agihan) sudah selesai dan kita akan cuba merayu pada pihak Kementerian Kewangan untuk tambah lagi jumlah pembiayaan, jika diperlukan.

"Pinjaman ini diberikan sehingga maksimum RM10,0000 tanpa caj keuntungan serta moratorium selama 12 bulan dan kita harapkan usahawan yang terbabit dapat membayar balik pinjaman dalam masa ditetapkan," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

SPIM ialah skim bagi membantu usahawan informal dan mikro untuk memulih dan memulakan semula perniagaan yang terjejas akibat wabak Covid-19 dan bencana banjir.

Noh Omar bergambar bersama sebahagian daripada 1,677 usahawan mikro di Kelantan yang menerima cek geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) berjumlah RM3,000. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Noh Omar bergambar bersama sebahagian daripada 1,677 usahawan mikro di Kelantan yang menerima cek geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) berjumlah RM3,000. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Terdahulu, Noh menyampaikan geran khas bantuan banjir kepada 1,677 usahawan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tekun Nasional di negeri ini yang membabitkan peruntukan sebanyak RM5.031 juta di Hotel Grand Riverview di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, Datuk Adam Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Kewangan AIM, Norsharizal Mashahrin.

Noh berkata, geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM50 juta kerajaan kepada usahawan mikro yang terjejas akibat banjir besar yang melanda negara pada Disember tahun lalu, dan kali kedua bencana alam itu menyusul ke tiga negeri pantai timur.

"Kita menerima permohonan untuk BBKM lebih daripada 16,000 dan setiap usahawan yang terpilih menerima RM3,000 untuk membantu memulihkan perniagaan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 4:44 PM