EWON (tengah) dan Aria pada sidang media majlis penyerahan Dana Fasilitasi SME Bank iTekad Penjana Komuniti 2023. - Gambar NSTP/ROHANIS SHUKRI
EWON (tengah) dan Aria pada sidang media majlis penyerahan Dana Fasilitasi SME Bank iTekad Penjana Komuniti 2023. - Gambar NSTP/ROHANIS SHUKRI

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), menyasarkan 48 syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tersenarai dalam Bursa Malaysia bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, 48 PMKS terbabit bertaraf empat ke lima bintang dan ke arah mencapai standard bagi membolehkan mereka disenaraikan di Bursa Malaysia berikutan pencapaian dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

Katanya, Kuskop percaya jika PMKS berani mengambil langkah lebih maju dan melakukan anjakan paradigma dengan mengadaptasikan pengetahuan baharu ia melonjakkan semula pembangunan perniagaan mereka menjadi syarikat multinasional sekali gus tersenarai dalam pasaran saham.

"Kami jangka tahun depan ada dua ke tiga syarikat PMKS tersenarai dalam Bursa Malaysia dan tidak mustahil 48 syarikat bertaraf empat dan lima bintang ini tersenarai juga dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Kuskop optimis sumbangan PMKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun ini lebih tinggi dan positif daripada 11.6 peratus dicatatkan tahun lalu," katanya pada program iTekad Penjana Komuniti SME Bank di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Dr Aria Putera Ismail.

Sementara itu, Aria berkata, SME Bank memperuntukkan dana fasilitasi RM1.24 juta kepada 249 peserta Program SME Bank iTekad Penjana Komuniti.

Menurutnya, program itu bermula sebagai tindak balas pantas membantu usahawan PMKS ketika pandemik pada 2020.

"Kini, SME Bank iTekad Penjana Komuniti memanfaatkan lebih 700 usahawan mikro B40 dan lebih RM4.6 juta diperuntukkan bagi dana fasilitasi dan program bimbingan keusahawanan.

"Empat objektif utama dikenal pasti untuk menyediakan peserta dgn pengetahuan penting yang diperlukan bagi mencapai perniagaan mampan.

"Ini termasuk memperkemas proses pendaftaran perniagaan, diikuti pelaksanaan strategi pemasaran dan sistem perakaunan digital, serta penyepaduan gerbang pembayaran untuk mengoptimumkan operasi perniagaan dan peserta yang berjaya memenuhi kriteria ini dan kekal dalam kumpulan fokus layak dapat dana fasilitasi RM5,000 setiap seorang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 7:02 AM