BAGI 2024 sebanyak RM134.6 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan program. - Gambar hiasan
BAGI 2024 sebanyak RM134.6 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan program. - Gambar hiasan
Oleh Siti Norhidayah Mohd Yunus

Kuala Lumpur: Seramai 1,065 usahawan wanita menerima manfaat melalui bantuan kewangan berjumlah RM22.6 juta daripada SME Corporation Malaysia (SME Corp) iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) pada 2023.

Jumlah itu merangkumi hampir 40 peratus daripada bilangan keseluruhan 2,708 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menerima manfaat daripada program pembangunan PMKS yang dilaksanakan oleh SME Corp pada tahun berkenaan, dengan nilai bantuan berjumlah RM92.6 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, SME Corp berjaya menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus penerima manfaat bagi inisiatif dan program dilaksanakan untuk usahawan wanita.

"Antara program yang telah banyak memberi manfaat kepada usahawan wanita adalah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) apabila seramai 548 peserta atau 48 peratus daripada jumlah keseluruhan peserta iaitu 1,142 terdiri daripada usahawan wanita dengan bantuan bernilai RM1.7 juta.

"Daripada 555 peserta yang diluluskan geran perniagaan berjumlah RM10 juta, separuh daripadanya (50 peratus) adalah belia wanita iaitu seramai 280 peserta yang telah diluluskan geran perniagaan berjumlah RM4.3 juta.

"Selain itu, SME Corp melaksanakan Program Pengukuhan Eksport PMKS yang bertujuan meningkatkan keupayaan praeksport PMKS serta menambah bilangan PMKS yang berpotensi menembusi pasaran global," katanya lagi.

Tambah Rizal, bagi tahun 2024, sebanyak RM134.6 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan program.

"Pada tahun ini juga, SME Corp akan kembali menganjurkan Anugerah Enterprise 50 (E50) iaitu program anugerah berprestij yang mengiktiraf pencapaian 50 PMKS terunggul di Malaysia.

"Bagi mengiktiraf pencapaian dan sumbangan usahawan wanita, salah satu Anugerah Khas diwujudkan di bawah Anugerah itu iaitu Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50," katanya lagi.

SME Corp menyasarkan lebih 16,700 PMKS bakal menerima manfaatnya pada tahun ini termasuklah usahawan wanita, sejajar dengan aspirasi kerangka Ekonomi Madani yang lebih saksama, inklusif dan mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 7:10 AM