ARIA Putera
ARIA Putera

SMALL Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) memproses dan meluluskan permohonan pembiayaan bernilai RM48 juta setakat Jun tahun ini melalui tiga cawangannya di Sabah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Aria Putera Ismail berkata, cawangan-cawangan itu ialah Pusat Wilayah Sabah, Pusat Perusahaan Kota Kinabalu di Kota Kinabalu serta Pusat Perusahaan Tawau, yang memproses serta meluluskan permohonan pembiayaan bernilai RM168 juta pada 2022.

"Tiga portfolio utama SME Bank untuk Kota Kinabalu, khususnya, adalah perdagangan borong dan peruncitan, restoran dan hospitaliti bernilai RM125 juta; pembinaan bernilai RM71 juta; serta kewangan, insurans, hartanah dan aktiviti perniagaan bernilai RM40 juta," katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Institusi kewangan pembangunan itu juga melanjutkan Program Jom XCESS ke Sabah dengan menawarkan kemudahan pembiayaan termasuk khidmat nasihat kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dengan tiga pemangkin perniagaan yang dikenal pasti iaitu usahawan dari industri pembuatan, pembinaan dan pelancongan.

Antara kemudahan pembiayaan yang ditawarkan melalui JOM XCESS Sabah adalah Dana Promosi IBS 2.0. Fasiliti Hijau dan Teknologi Tinggi, serta Pembiayaan Pelancongan Penjana.

Anak syarikat milik penuh SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (Cedar), turut hadir untuk sesi perundingan dalam meningkatkan kapasiti dan keupayaan usahawan PMKS.

Program itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Ewon dalam ucapannya berkata SME Bank menganjurkan tiga Program Jom XCESS SME Bank membabitkan 311 usahawan PMKS dari wilayah utara, Kuala Lumpur dan pantai timur.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga menyediakan pelbagai dana pemudah cara bagi tujuan meningkatkan kapasiti usahawan seperti Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial SME Bank bernilai RM20 juta.

"Kementerian turut menyediakan dana keseluruhan bernilai RM11.5 juta khususnya bagi Cedar melaksanakan empat program pembangunan kapasiti keusahawanan untuk 2023," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 7:05 AM