SERAMAI 664   usahawan   diberi kesedaran mengenai ketersediaan peluang kedua menerusi pelbagai inisiatif disediakan oleh kerajaan pada tahun lalu.
SERAMAI 664 usahawan diberi kesedaran mengenai ketersediaan peluang kedua menerusi pelbagai inisiatif disediakan oleh kerajaan pada tahun lalu.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan menyalurkan pembiayaan berjumlah RM5.19 bilion kepada 292,530 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi sehingga November 2023 bagi membantu kalangan yang masih terjejas akibat Covid-19.

Timbalan Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (Kuskop) Saraswathy Kandasami berkata pembiayaan berkenaan telah disalurkan menerusi Skim Pembiayaan Tekun Niaga, Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI) dan Pembiayaan PMKS oleh Bank Rakyat.

Pada masa sama, katanya, kerajaan menerusi kementerian berkenaan turut melaksanakan program pemantapan kapasiti serta menyediakan fasilitasi dan sokongan keusahawanan bagi PMKS, termasuk koperasi yang masih terjejas akibat pandemik.

"Seramai 45,014 orang usahawan program seperti INSKEN Business Training (IBT), Business In Transformation (BIT) oleh Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) dan Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) oleh SME Corporation Malaysia.

"Kuskop juga meningkatkan penyediaan premis dan ruang perniagaan serta peluang menembusi pasaran domestik dan antarabangsa dengan melibatkan seramai 3,025 orang usahawan melalui program seperti Program Insentif Usahawan UDA (PIUU) dan Business Exports Program oleh SME Bank," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar mengenai kejayaan kerajaan membantu memulihkan golongan usahawan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menjelaskan selanjutnya, Saraswathy berkata Kuskop juga bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk pelaksanaan Program Intervensi Peluang Kedua bagi membantu usahawan menghadapi masalah pengurusan kewangan serius dan risiko untuk muflis.

Pada tahun lepas, seramai 664 orang usahawan telah diberi kesedaran mengenai ketersediaan peluang kedua menerusi pelbagai inisiatif disediakan oleh kerajaan.

Daripada jumlah itu, seramai 40 usahawan dipilih untuk mengikuti Program Bimbingan Khas Institut Keusahawanan Negara selama empat bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 7:02 AM