EWON Benedick. FOTO Arkib BERNAMA
EWON Benedick. FOTO Arkib BERNAMA
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), menyasarkan kira-kira 48 syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan tersenarai dalam Bursa Malaysia bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, 48 PMKS terbabit sudah bertaraf empat ke lima bintang dan ke arah mencapai standard bagi membolehkan mereka disenaraikan di Bursa Malaysia berikutan pencapaian dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

Katanya, Kuskop percaya jika PMKS berani mengambil langkah untuk lebih maju dan melakukan anjakan paradigma dengan mengadaptasikan segala pengetahuan baharu ia akan melonjakkan semula pembangunan perniagaan mereka menjadi syarikat multinasional sekaligus tersenarai dalam pasaran saham.

"Kami jangkakan tahun depan akan ada dua ke tiga syarikat PMKS akan tersenarai dalam Bursa Malaysia dan tidak mustahil 48 syarikat yang bertaraf empat dan lima bintang ini akan tersenarai juga dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Kuskop juga optimis sumbangan PMKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun ini akan lebih tinggi dan positif daripada 11.6 peratus yang berjaya dicatatkan tahun lalu," katanya kepada media di program iTekad Penjana Komuniti SME Bank di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Dr Aria Putera Ismail.

Sementara itu, Aria berkata, SME Bank memperuntukkan dana fasilitasi bernilai RM1.24 juta kepada 249 orang peserta Program SME Bank iTekad Penjana Komuniti.

Menurutnya, program itu bermula sebagai tindak balas pantas untuk membantu usahawan PMKS ketika pandemik pada 2020.

"Kini, SME Bank iTekad Penjana Komuniti telah memanfaatkan lebih 700 orang usahawan mikro B40 dan lebih RM4.6 juta sudah diperuntukkan bagi dana fasilitasi dan program bimbingan keusahawanan.

"Empat objektif utama sudah dikenal pasti untuk menyediakan peserta dgn pengetahuan penting yang diperlukan untuk mencapai perniagaan yang mampan.

"Ini termasuk memperkemas proses pendaftaran perniagaan, diikuti dengan pelaksanaan strategi pemasaran dan sistem perakaunan digital, serta penyepaduan gerbang pembayaran untuk mengoptimumkan operasi perniagaan dan peserta yang berjaya memenuhi kriteria ini dan kekal dalam kumpulan fokus akan layak mendapat dana fasilitasi berjumlah RM5,000 setiap seorang," katanya.

Pada awal tahun ini, SME Bank iTekad Penjana Komuniti diiktiraf secara rasmi sebagai salah satu inisiatif program kewangan sosial yang disokong oleh Bank Negara Malaysia di mana institusi kewangan bekerjasama untuk menyediakan modal pemula, pembiayaan mikro dan latihan berstruktur untuk memperkasakan PMKS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 3:54 PM