Mohd Muazzam Mohamed.
Mohd Muazzam Mohamed.

Kuala Lumpur: Tiga bank Islam mempertingkatkan usaha mereka untuk menyediakan khidmat kepada asnaf dan komuniti yang sedang berdepan kesan pandemik Covid-19 menerusi perluasan program iTekad (iTekad 2.0).

Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) menyertai Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dalam menawarkan dan memperluas pelaksanaan program ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pada peringkat awal iTekad, Bank Islam menjalin kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp Malaysia).

"Kami memperuntukkan RM5 juta menggunakan dana Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF) Bank Negara Malaysia (BNM) bagi program ini.

"Dengan sasaran awal 100 usahawan mikro, seramai 98 pemilik perniagaan menerima kelulusan pembiayaan mikro yang berjumlah kira-kira RM1.8 juta daripada Bank Islam setakat 31 Julai 2021.

"Daripada angka berkenaan, seramai 49 usahawan asnaf menerima zakat berjumlah RM205,000 menerusi usaha sama kami dengan MAIWP.

"SME Corp Malaysia pula menganjurkan enam sesi latihan keusahawanan dan pengurusan kewangan untuk peserta. Untuk fasa seterusnya, Bank Islam akan memperluaskan akses iTekad ke Selangor dan Perlis menerusi kerjasama dengan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) dan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn Bhd (ATAM) yang juga anak syarikat Majlis Agama Islam di kedua-dua negeri berkenaan," katanya.

Menurutnya, Bank Islam mengalu-alukan perluasan program iTekad menerusi pembabitan Bank Muamalat dan CIMB Islamic kerana kami percaya ia akan memperkukuhkan sokongan sosioekonomi yang diperlukan dalam mendepani kesan Covid-19.

"Kami menggalakkan lebih ramai usahawan B40 dan asnaf untuk menyertai program pembiayaan mikro ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 7:33 AM