Pengarah Urusan Innoveam, Zamir Rashid (tengah) menyampaikan replika penajaan kepada Menteri Komunikasi Dan Digital, Fahmi Fadzil (dua dari kiri) di Majlis Pelancaran Malaysia Digital Expo (MDX) 2023 yang diadakan di One World Hotel. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Pengarah Urusan Innoveam, Zamir Rashid (tengah) menyampaikan replika penajaan kepada Menteri Komunikasi Dan Digital, Fahmi Fadzil (dua dari kiri) di Majlis Pelancaran Malaysia Digital Expo (MDX) 2023 yang diadakan di One World Hotel. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Petaling Jaya: Perjanjian langganan saham antara semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dalam Digital Nasional Bhd (DNB) dijangka dimuktamadkan minggu depan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sudah memaklumkan mengenai perjanjian itu kepada semua pihak terbabit.

Katanya, bagaimanapun beberapa perkara mengenai perjanjian berkenaan masih dalam penyeliaan dan perbincangan.

"Kami jangkakan perjanjian terbabit akan dimuktamadkan minggu depan dan saya sudah memaklumkan perkara ini kepada semua ketua pegawai eksekutif (CEO) MNO berkenaan.

"Pasukan petugas 5G yang akan diketuai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican akan menyelia aspek terakhir sebelum perjanjian dimeterai membabitkan kesemua MNO utama.

"Kami akan maklumkan kepada pihak media apabila perjanjian itu akan dilaksanakan," katanya kepada media selepas merasmikan Malaysia Digital Expo (MDX) 2023 di sini, semalam.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk menukar model pelaksanaan 5G kepada dwirangkaian sebaik sahaja pelaksanaan semasa di bawah DNB bagi mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang akhir 2023.

Terdahulu, Fahmi berkata, Malaysia sudah memperoleh lebih RM37.4 bilion komitmen pelaburan merentasi pelbagai sektor teknologi digital sehingga Ogos 2023.

Beliau berkata, komitmen pelaburan itu menjanjikan penciptaan sekurang-kurangnya 15,895 pekerjaan bernilai tinggi.

Katanya, pencapaian luar biasa itu mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap rangka kerja utuh Malaysia Digital (MD), inisiatif strategik negara untuk memacu ekonomi digital.

"Tambahan pula, baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan majlis menandatangani tiga memorandum persefahaman bernilai RM19.84 bilion antara syarikat Malaysia dan China, mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan," katanya.

Fahmi berkata, reputasi Malaysia yang mantap sebagai destinasi perniagaan untuk pelabur teknologi, digabungkan dengan lokasi strategiknya sebagai pintu masuk ke Asean, menjadikannya destinasi yang sempurna untuk perniagaan yang ingin berkembang maju di rantau dinamik ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 8:47 AM