FAHMI Fadzil menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian “Digital Transformation Leaders' СхО Summit”. FOTO BERNAMA
FAHMI Fadzil menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian “Digital Transformation Leaders' СхО Summit”. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia masih menjadi destinasi menarik bagi syarikat global untuk menubuhkan pusat data mereka.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, komitmen sudah diberikan beberapa syarikat teknologi utama termasuk Google, Microsoft dan TikTok untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan, terutama pelaburan berkaitan pusat data.

Katanya, dalam perbincangan diadakan, antara perkara yang dibincangkan termasuk dasar perlindungan data, zon perdagangan bebas digital dan kedutaan digital.

"Dasar kita jelas. Kita terbuka kepada perniagaan dan kita akan terus menjadi destinasi pilihan (pelabur)," katanya pada 'Digital Transformation Leaders' CxO Summit – Intelligent Digital Transformation in the 5G Era' di sini, semalam.

Acara dianjurkan secara bersama antara GSMA dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Sementara itu, Fahmi berkata, kerajaan akan mengkaji secara menyeluruh konsep kedutaan data yang diutarakan peserta industri sebelum memutuskan mengenai pelaksanaannya.

Beliau berkata, konsep kedutaan data dipelopori beberapa negara Eropah seperti Estonia dan beberapa negara lain, bagi pusat pemprosesan data menjadi kawasan yang mempunyai kawal selia bersifat kedutaan.

Katanya, perkara itu baru dibangkitkan dan kerajaan akan mengkajinya secara menyeluruh.

"Kita belum ada keputusan dasar dan semestinya ia satu konsep menarik dan (ia) perlu diimbangkan dengan rang undang-undang keselamatan siber yang sedang digubal pada waktu ini dan pindaan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi dan juga Omnibus yang akan dibawa ke Parlimen suku pertama tahun depan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, perjanjian langganan saham (SSA) Digital Nasional Bhd (DNB) dijangka dimeterai dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, mesyuarat diadakan semalam bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi memutuskan beberapa perkara termasuk tarikh untuk memeterai SAA.

"Kita harap dalam tempoh terdekat adakan majlis menandatangani SSA," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan terkini SAA itu.

Lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO) iaitu CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd telah bersetuju mengambil pegangan ekuiti dalam DNB bagi menyokong pembangunan rangkaian 5G negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 6:20 AM