FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Digital Nasional Bhd (DNB) mengesahkan kesemua syarat terdahulu yang terkandung di bawah Perjanjian Langganan Saham (SSA) berjaya dipenuhi pada 20 Jun 2024.

Dalam kenyataan hari ini, DNB berkata ini merupakan pencapaian penting mengenai SSA dengan empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) di Malaysia iaitu CelcomDigi Bhd melalui Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd, dan YTL Communications Sdn Bhd melalui YTL Power International Bhd.

"Dengan selesainya langkah penting ini, SSA ini dijangka lengkap pada akhir Jun 2024 untuk kesemua MNO, selain Telekom Malaysia Bhd (TM), untuk meningkatkan pegangan ekuitinya dalam DNB," katanya.

Pada 1 Dis 2023, DNB dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MoF Inc) memeterai SSA dengan lima MNO, justeru membolehkan penyertaan MNO dalam DNB melalui pemilikan ekuiti.

Tarikh untuk TM adalah pada 21 Ogos 2024 bagi mendapatkan kelulusan pemegang sahamnya, selaras dengan keperluan tadbir urusnya, kata DNB.

Menerusi terma SSA, MNO dijangka secara kolektif memperoleh 70 peratus pegangan ekuiti dalam DNB, dengan setiap MNO memegang 14 peratus kepentingan.

Kerajaan Malaysia, yang diwakili oleh MoF Inc., akan mengekalkan 30 peratus kepentingan dan Saham Khas dalam DNB untuk tempoh yang ditetapkan.

Memandangkan pihak yang terlibat dalam usaha untuk melengkapkan SSA berkenaan, DNB kekal komited untuk memacu inovasi teknologi dan memperluas perkhidmatan digital di seluruh negara, mendorong Malaysia yang lebih terhubung dan diperkasa secara digital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 11:16 AM