Bangunan KWSP.
Bangunan KWSP.

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2023, meningkat 39.74 peratus atau RM9.44 bilion berbanding RM23.75 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama 2022.

Jumlah itu adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh berkenaan.

Pengurus dana persaraan itu berkata, daripada jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion, RM4.79 bilion mewakili keuntungan 'mark-to-market' (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan.

Ia berkata, keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran mata wang asing.

Pada suku kedua 2023 pula, jumlah pendapatan pelaburan KWSP adalah sebanyak RM18.03 bilion, meningkat RM9.05 bilion berbanding RM8.98 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi suku kedua 2023 pada RM9.60 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi pasaran ekuiti global pada separuh pertama 2023 adalah positif, diterajui oleh pasaran maju, khususnya di Amerika Syarikat (AS) yang terus menunjukkan daya tahan walaupun kadar faedah meningkat.

Katanya, ketangkasan dan kebolehsuaian KWSP dalam strategi pelaburannya membuka ruang kepada pengurus pelaburan untuk memanfaatkan peningkatan pasaran, sekali gus menyumbang kepada pulangan yang lebih tinggi daripada ekuiti dalam tempoh itu.

Ia berbeza dengan prestasi pasaran ekuiti yang dilihat pada separuh pertama 2022, yang menyaksikan beberapa indeks mengalami kemerosotan yang ketara, dengan kebanyakan pasaran termasuk AS mencatatkan prestasi separuh pertama terburuk mereka dalam beberapa dekad.

"Bagi Malaysia, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 telah melangkaui jangkaan, didorong khususnya oleh permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan dalam pasaran pekerjaan.

"Pertumbuhan yang berdaya tahan telah meredakan keadaan kewangan yang ketat, seterusnya memberikan ruang kepada pasaran modal domestik," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, instrumen pendapatan tetap, yang berfungsi sebagai pengekalan modal, terus menjadi tunjang kepada KWSP dan memberikan aliran pendapatan yang stabil kepada pendapatan keseluruhan KWSP, dengan kelas aset itu yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS) serta pinjaman dan bon, menyumbang 27 peratus atau RM4.83 bilion kepada jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku kedua 2023.

Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan RM2.72 bilion, manakala pendapatan daripada instrumen pasaran wang menjana RM0.88 bilion, sejajar dengan jangkaan kelas pulangan itu.

Aset KWSP mencatatkan pertumbuhan kukuh di sebalik pendapatan lebih tinggi yang dijana daripada pelaburannya serta caruman bersih yang diterima.

Sehingga Jun 2023, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1,082.45 bilion, yang mana 38.6 peratus daripadanya dilaburkan dalam pelaburan luar negara.

Peningkatan dalam pendedahan luar negara sebahagian besarnya disebabkan oleh pergerakan pasaran global dan pertukaran mata wang asing yang lebih menggalakkan.

Tidak termasuk pergerakan kadar pertukaran asing, pelaburan luar negara KWSP yang dicatatkan akan berada pada sekitar 37.5 peratus.

Pelaburan luar negara KWSP menjana RM11.07 bilion atau 61 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan yang direkodkan.

Sementara itu, pelaburan domestik KWSP, yang merangkumi 61.4 peratus daripada jumlah aset, telah meningkat sebanyak RM57 bilion berbanding setahun lalu.

KWSP kekal komited untuk menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dengan terus memperuntukkan lebih 80 peratus daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik.

Pada suku kedua 2023, sebanyak RM16.27 bilion daripada RM18.03 bilion pendapatan pelaburan kasar dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM1.76 bilion Simpanan Syariah.

Simpanan Syariah memperoleh pendapatannya daripada bahagian portfolio Syariah manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua portfolio Syariah dan konvensional.

Pada separuh pertama 2023, jumlah keahlian KWSP terus meningkat kepada 15.90 juta, dengan ahli aktif pada paras tertinggi sebanyak 8.47 juta, yang kini mewakili 50.2 peratus daripada 16.86 juta tenaga kerja Malaysia.

Pendaftaran majikan baharu juga menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 43,084 dalam tempoh itu, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 598,871.

Pertambahan ahli aktif dan majikan menjadikan jumlah caruman diterima meningkat sebanyak RM50.48 bilion pada separuh pertama 2023, naik 16.8 peratus berbanding RM43.23 bilion pada separuh pertama 2022.

Pemulihan pasaran pekerjaan di Malaysia dan usaha berterusan KWSP untuk menggalakkan ahli mencarum secara sukarela telah membantu KWSP merekodkan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif yang lebih baik, naik daripada 52 peratus (48 peratus pada suku kedua 2022) kepada 53 peratus (47 peratus pada suku kedua 2023).

Pada separuh pertama 2023, KWSP mencatatkan pertumbuhan 36 peratus dalam jumlah pencarum sukarela kepada 535,307 berbanding 393,966 pada separuh pertama 2022.

Sementara itu, bilangan ahli sektor formal yang memilih untuk menyumbang lebih daripada kadar berkanun ialah 31,128 pada separuh pertama 2023, berbanding 9,765 pada separuh pertama 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 12:23 PM