KALIMULLAH Khan atau lebih dikenali sebagai Mango Man. FOTO Ihsan kaleemullahkhan.com
KALIMULLAH Khan atau lebih dikenali sebagai Mango Man. FOTO Ihsan kaleemullahkhan.com
Hazira Ahmad Zaidi


HORTIKULTURIS dari India yang terkenal dengan jolokan ‘Mango Man’ akan menjadi tarikan utama dalam Festival Mangga Antarabangsa bakal diadakan di Kota Bharu, 29 Mei hingga 5 Jun ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Husam Musa berkata, individu itu, Kalimullah Khan pernah mendapat anugerah daripada kerajaan India kerana menghasilkan beratus jenis mangga baharu serta berkualiti.

Katanya, Kalimullah layak menerima pengiktirafan itu apabila 300 jenis mangga berjaya ‘dikahwinkan’ pada sebatang pokok.

“Di Kelantan kita mendapati hampir setiap rumah mempunyai pokok mangga ringan (mangga telur).

“Kita berharap dengan perkongsian teknik daripada Kalimullah kelak, pokok mangga tua atau matang dapat dipotong dan diletakkan tunas pokok berkualiti,” katanya kepada ditemui selepas Majlis Amanat Tahun Baru 2020, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.

Husam berkata, menerusi kaedah ini pokok mangga di Kelantan dapat direvolusikan dalam masa tiga tahun akan datang bagi menghasilkan buah berkualiti dunia seperti dicapai Jepun, Filipina, India atau Pakistan.

“Bagaimanapun, bagi tujuan ini, KADA perlu mempunyai pusat pengumpulan benih buah-buahan secara kecil-kecilan buat permulaan,” katanya.

Terdahulu, Husam melancarkan aplikasi i-Attendance sebagai usaha terawal bagi mewujudkan budaya baharu dalam gerak kerja kakitangan KADA.

Beliau berkata, aplikasi itu bukan pertama dalam agensi di bawah Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani (MOA), namun ia menjadi satu titik permulaan bagi pihaknya untuk menghasilkan lebih banyak inovasi dan aplikasi teknologi pada masa akan datang.

“Aplikasi ini membolehkan kakitangan serta pegawai menepati masa selain memastikan mereka berada di pejabat atau tempat ditugaskan sepanjang jam bekerja serta 'menghormati' waktu bekerja.

“Pada masa sama, pihak atasan termasuk saya, pengurus besar, pegawai, ketua jajahan dan cawangan juga boleh memantau pergerakan setiap kakitangan dan mengetuai di mana keberadaan mereka,” katanya.

Husam berkata, selepas ini aplikasi berkenaan akan diperluaskan seperti kepada petani.

“Melaluinya kita dapat mengetahui jadual tanaman, keluasan tanah dimiliki, subsidi diperoleh, bila tanaman mengeluarkan hasil dan pembajaan dapat dipantau sekali gus mengelak ketirisan subsidi.

“Kami akan memperkenalkan aplikasi pasaran secara dalam talian kepada petani dalam masa terdekat dan menubuhkan satu pasar khas untuk memasarkan hasil tani mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 5:18 PM