AHMAD Shareza. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Shareza. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Maybank Islamic Bhd yang menguruskan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM65.2 bilion membabitkan 60,000 pelanggan menerusi bahagian Pengurusan Kekayaan Patuh Syariah (IWM) institusi perbankan itu setakat Februari tahun ini, menyasarkan untuk memperluas pangkalan pelanggannya sehingga 100,000 dalam tempoh dua tahun.

Ketua IWM dan Pembangunan Perniagaannya, Ahmad Shareza Abdul Rahman berkata, pelanggan yang diuruskan oleh IWM dikategorikan sebagai pelanggan istimewa (memiliki aset bernilai RM50,000 dan ke atas) dan pelanggan utama (memiliki aset bernilai RM250,000 dan ke atas).

Beliau berkata, sejak dilancarkan Jun 2021, perkhidmatan IWM menyaksikan pertumbuhan memberangsangkan iaitu kira-kira 20 hingga 30 peratus dalam AUM tahun ke tahun, lazimnya meliputi deposit, pelaburan dan takaful.

"Kami yakin sekiranya kami memudahkannya dan menyediakan perkhidmatan lebih komprehensif kepada pelanggan untuk menguruskan kekayaan mereka, justeru, lebih ramai yang akan mendaftar.

"Apabila kita bercakap berhubung pengurusan kekayaan, kita sering mengaitkannya dengan penciptaan dan pengumpulan kekayaan yang ketika ini berjumlah kira-kira 90 peratus daripada AUM di IWM.

"Namun, yang menjadikan kami berbeza adalah kami mempunyai dua lagi tonggak yang menyokong perkhidmatan kami – penyucian kekayaan seperti zakat dan sedekah serta pembahagian (perancangan harta pusaka)," katanya dalam satu temu bual.

Bagaimanapun, beliau berkata, perancangan harta pusaka di IWM masih di peringkat awal.

Sehubungan itu katanya, ia bukan sebagai pemacu pertumbuhan bagi AUM, sebaliknya lebih kepada menyediakan satu perkhidmatan yang lengkap.

Ahmad Shareza berkata, persepsi umum umat Islam berkenaan perancangan harta pusaka adalah kekayaan boleh diuruskan melalui faraid (hukum berkenaan pembahagian harta pusaka mengikut peraturan Islam) selepas mereka meninggal dunia.

Antara alasan yang diberikan untuk tidak mendapatkan perancangan harta pusaka adalah mereka tidak mempunyai banyak harta untuk diagihkan.

"Falsafah IWM adalah kekayaan bukan milik kita dan kekayaan itu daripada Tuhan, dan kita hanyalah sebagai pemegang amanah dan ungkapan pengurusan kekayaan IWM adalah 'daripada buaian ke jannah (syurga).'

"Kekayaan yang tidak diuruskan dengan baik boleh menyebabkan banyak perbalahan dalam kalangan anggota keluarga dan (perbalahan) ini boleh dikurangkan sekiranya aspek itu diperjelaskan," kata Ahmad Shareza.

Beliau berkata, kesedaran berkenaan perancangan harta pusaka semakin meningkat selepas pandemik Covid-19 meskipun banyak aspek perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 6:20 AM