Ketua Pegawai Eksekutif, Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican. - FOTO NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif, Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican. - FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic), menyasarkan 50,000 pelanggan akan melanggan EzyWasiat dalam tempoh 12 bulan selepas pengenalannya di pasaran.

Platform EzyWasiat yang diperkenalkan Maybank Islamic itu dibangunkan mengikut model bantuan unik di mana pelanggan akan dibantu secara langsung oleh penasihat pengurusan kekayaan patuh Syariah atau pengurus hubungan yang akan menggabungkan algoritma faraid untuk memudahkan proses penulisan wasiat.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, pelancaran EzyWasiat adalah selaras dengan aspirasi bank itu untuk membangunkan penyelesaian baharu dan inovatif yang dapat memberikan impak positif kepada komuniti secara meluas.

Katanya, EzyWasiat terbuka untuk orang ramai dan pelanggan hanya perlu menyediakan dokumen yang diperlukan dengan bayaran serendah RM600 dengan penulisan wasiat mereka boleh disempurnakan dalam masa 30 minit sahaja.

"Kami kekal komited untuk menerajui perbankan patuh Syariah bukan sahaja di rantau ini malah dunia. Berbekalkan jalinan perkongsian pintar, kami berada pada kedudukan yang strategik untuk membuka jalan ke arah fasa pertumbuhan kewangan Islam yang seterusnya.

"Selain memenuhi janji terhadap kelestarian kewangan Islam, kami juga berusaha untuk mendigitalkan produk kami dalam menawarkan penyelesaian kepada pelanggan.

"Maybank Islamic juga menjadi bank pertama yang memperkenalkan perkhidmatan wasiat digital seumpama ini," katanya pada sidang media selepas pelancaran EzyWasiat di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Kekayaan dan Pembangunan Perniagaan Patuh Syariah Maybank Islamic, Ahmad Shareza Abdul Rahman berkata, dengan EzyWasiat, umat Islam dapat memanfaatkan perkhidmatan penulisan wasiat khusus untuk mereka yang menitikberatkan keperluan syarak dan perancangan masa hadapan demi orang tersayang.

Beliau berkata, dengan proses penulisan wasiat yang dapat diselesaikan dalam tempoh 30 minit dan struktur harga yang berpatutan, pihaknya ingin memastikan agar tiada sesiapapun yang terkecuali daripada bantuan guaman perancangan harta yang berkualiti tinggi.

"Malah, EzyWasiat yang berasaskan teknologi digital ini mudah untuk diubahsuai dari masa ke masa jika diambil kira realiti perubahan hidup dan peredaran masa yang dinamik, serta boleh didapati di semua cawangan Maybank seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 3:28 PM