TARA pusat beli-belah Aeon yang dipasang panel solar fotovoltaik.
TARA pusat beli-belah Aeon yang dipasang panel solar fotovoltaik.

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus mendapat sokongan dalam usaha menerajui pelaksanaan peralihan tenaga yang bertanggungjawab melalui sokongan berterusan komuniti awam dan komersial, termasuk syarikat antarabangsa yang semakin beralih kepada penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) daripada sumber tenaga suria.

Anak syarikat milik penuh TNB, GSPARX Sdn Bhd sehingga kini berjaya memeterai 1,926 projek pemasangan panel solar fotovoltaik di bumbung kediaman, bangunan awam dan komersial di seluruh Semenanjung dengan kapasiti berjumlah 271.9 megawatt (MW).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir Baharin Din berkata, pencapaian itu menggalakkan kerana dalam mendukung negara neutral karbon menjelang 2050, TNB berjaya memberi kesedaran kepada orang ramai beralih kepada tenaga bersih dengan memanfaatkan bumbung bangunan mereka.

Malah, katanya, usaha berterusan TNB ini semakin mendapat sokongan peneraju perniagaan dengan terkini membabitkan peruncit terbesar Asia dari Jepun, Aeon melalui Aeon Co (M) Bhd yang mengendalikan rangkaian pasar raya kumpulan itu di Malaysia.

"Sebagai syarikat besar dari negara matahari terbit yang sentiasa meletakkan standard yang tinggi, kesediaan Aeon menerima tawaran TNB memasang panel solar cerminan kualiti perkhidmatan diberikan TNB melalui GSPARX menepati jangkaan manakala model perniagaan yang kami kemukakan dapat meningkatkan nilai tambah Aeon," katanya.

GSPARX berjaya mendapat sokongan Aeon melalui Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) pada 12 April lalu untuk pemasangan sistem solar di semua 40 pusat beli-belah Aeon dan Aeon BiG di seluruh negara.

Perjanjian pemasangan itu terbesar setakat ini dengan kapasiti 78 MW dan membantu TNB merekodkan sejumlah 3,907MW kapasiti TBB, hampir 50 peratus daripada sasaran 8,300 MW dalam perjalanan syarikat utiliti itu ke arah karbon sifar bersih, selari dengan komitmen peralihan tenaga negara.

Menurut Baharin, selain tawaran GSPARX membolehkan Aeon menjana tenaga sendiri melalui pemasangan sistem solar dengan perbelanjaan modal sifar, ia membantu rangkaian pasar raya itu menikmati penjimatan antara 15 hingga 30 peratus kos elektrik.

"Organisasi awam dan komersial yang lain wajar mengikut jejak Aeon yang mengambil peluang terbaik inisiatif penjimatan tenaga dan bersama-sama berperanan membangunkan masa depan lebih lestari demi kesejahteraan hidup bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 9:08 AM