GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) terus mendapat sokongan agensi-agensi kerajaan dalam menggiatkan peralihan tenaga dengan terkini daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Melalui Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (Sare), GSPARX akan memasang sistem solar fotovoltaik atas bumbung di 14 premis kepunyaan Felda di Semenanjung Malaysia dengan kapasiti berjumlah 1.6 MWp.

Ketua Pegawai Retail TNB, Kamal Arifin A Rahman berkata, inisiatif teknologi hijau itu bakal mempertingkatkan impak pembangunan mesra alam dan kesejahteraan sejagat sejajar komitmen TNB terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Perjanjian ini juga merangkumi solusi tenaga pintar lain seperti Green Electricity Tariff (GET) apabila kuota tersedia, seterusnya aspek kecekapan tenaga dan sistem pemantauan tenaga (EMS – Energy Monitoring System) dalam mengurangkan pelepasan karbon," katanya di majlis menandatangani SARE di Menara Felda di sini.

Menurut Kamal, kerja-kerja pemasangan dijadualkan siap pada bulan Mei 2023 dan inisiatif beralih kepada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) ini membolehkan Felda menikmati anggaran penjimatan bil elektrik sebanyak RM10.74 juta untuk tempoh 20 tahun perjanjian.

"Ia sejajar dengan aspirasi nasional menuju negara neutral karbon menjelang 2050 apabila inisiatif tersebut mampu mengurangkan 1,321 tan metrik karbon dioksida setiap tahun bersamaan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 24,232 pokok dalam tempoh 10 tahun.

"Selain itu, ia juga manifestasi pemerkasaan ESG oleh pihak Felda sebagai sebuah agensi berteraskan perladangan dan mobiliti sosial, seterusnya menjadi pemangkin kepada agensi yang setara dalam mengadaptasi pembangunan lestari," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Besar Operasi Felda, Izham Mustaffa berkata, Felda yakin projek berkenaan menjadi permulaan terbaik kepada kerjasama mampan sekali gus memelihara alam sekitar melalui penjanaan berkesan tenaga hijau.

"Kami amat mengalu-alukan program persefahaman sebegini khususnya menyokong kepada langkah penjimatan kos pengurusan selain menjadi perintis kepada penerokaan sumber boleh diperbaharui oleh pihak Felda,'' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 7:01 AM