TENGKU Zafrul berkata, keperluan menyemak semula dasar automotif yang dirancang untuk tempoh 2020-2030 itu adalah untuk memastikan Malaysia kekal kompetitif, relevan dan menjadi peneraju dalam sektor automotif.
TENGKU Zafrul berkata, keperluan menyemak semula dasar automotif yang dirancang untuk tempoh 2020-2030 itu adalah untuk memastikan Malaysia kekal kompetitif, relevan dan menjadi peneraju dalam sektor automotif.

KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) akan menyemak semula Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) supaya sesuai dengan keperluan semasa industri automotif tempatan dan global.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keperluan menyemak semula dasar automotif yang dirancang untuk tempoh 2020-2030 itu adalah untuk memastikan Malaysia kekal kompetitif, relevan dan menjadi peneraju dalam sektor automotif.

"Terdapat banyak perkembangan baharu dalam sektor automotif terutamanya berkenaan kenderaan cekap tenaga dan kenderaan elektrik (EV).

"Kami mendapat maklum balas daripada pihak industri dan pemegang taruh lain supaya memberi lebih perhatian kepada apa yang terkandung dalam dasar yang dilancarkan sebelum ini.

"Pada pandangan saya, dalam apa-apa perancangan terutamanya yang membabitkan tempoh jangka panjang, kita perlu dinamik dan terbuka untuk melaksanakan perubahan yang perlu.

"Kami akan berbincang dalam kementerian dan agensi berkaitan untuk menyemak semula apa yang dibangkitkan pihak industri berkaitan teknologi baharu untuk bukan sahaja kekal relevan malah menjadi yang terbaik," katanya kepada media selepas melancarkan Kempen Proton Rahmah 2023, semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai inisiatif Kempen Proton Rahmah 2023, beliau berkata, dengan kempen berkenaan, pemilik kenderaan jenama itu dapat memeriksa kereta secara percuma dan membeli pakej perkhidmatan mampu milik, yang akan meringankan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.

"Pemilikan kenderaan kini adalah keperluan asas penting untuk rakyat. Justeru, kos berkaitan pemilikan kenderaan seperti pinjaman, perbelanjaan minyak kenderaan, tol dan penyelenggaraan antara komponen utama perbelanjaan isi rumah rakyat Malaysia.

"Terima kasih kepada Proton kerana pantas menyambut seruan ini dengan menawarkan diskaun bagi penyelenggaraan kenderaan dan pemeriksaan keselamatan kenderaan secara percuma di pusat servis rasminya melalui kempen ini.

"Apa yang paling penting, semua ini menyumbang kepada keselamatan nyawa pemilik kereta dan keluarga tersayang, terutama pada musim perayaan Aidilfitri yang menjelang tidak lama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 7:00 AM