SEOW
SEOW

Kuala Lumpur: Shell Malaysia melancarkan produk Shell FuelSave 95 baharu dan dipertingkatkan, yang kini mampu memberikan sehingga 15 kilometer (km) lebih jauh untuk setiap tangki.

Pengurus Besar Shell Mobility Malaysia Seow Lee Ming berkata, penambahbaikan Shell FuelSave 95 itu mampu memberikan lebih banyak nilai dan inovasi kepada pasaran.

"Kami berharap produk baharu dan dipertingkatkan ini dapat meningkatkan penguasaan pasaran kami di Malaysia dengan membawa produk inovatif ke pasaran," katanya pada sidang akhbar di sini.

Seow berkata, Shell sentiasa berusaha untuk berinovasi serta meningkatkan penawaran untuk manfaat pelanggan.

"Syarikat ini menjalankan pelbagai ujian yang ketat kerana Malaysia adalah pusat inovasi yang mana saintis kami boleh bekerjasama rapat untuk membangunkan produk ini, yang kami harap akan memberi manfaat kepada orang ramai di seluruh dunia," katanya.

Seow berkata, Shell Fuelsave 95 baharu ini menawarkan pembersihan secara mendalam untuk enjin yang lebih bersih, perlindungan yang lebih baik untuk semua enjin dan direka bagi kedua-dua teknologi baharu dan lama.

"Kami sudah menguji bahan api baharu itu pada kira-kira enam kenderaan dengan perbatuan kumulatif 10,000 km, dan ia meliputi keadaan jalan raya di Malaysia.

Seow berkata, produk ekonomi bahan api itu langkah ke hadapan bagi syarikat yang memacu kemasukan rendah atau produk penjimatan bahan api yang dilancarkan.

"Formulasi ini mengambil masa lebih lima tahun penyelidikan yang meluas dan dijalankan oleh 150 saintis bahan api," katanya.

FuelSave 95 boleh didapati bermula hari ini di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 7:01 AM