Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Jabatan Perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengeluarkan faedah sebanyak RM15.5 juta kepada Orang Berkerja Sendiri (OBS) yang mencarum melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata seramai 4,890 daripada 634,215 OBS yang mencarum di bawah SKSPS dan ditimpa kemalangan mendapat manfaat menerusi caruman mereka.

Katanya, sejak SKSPS diperkenalkan pada 1 Jun 2017 hingga Ahad lalu, hanya 634,215 OBS secara sukarela membuat caruman di bawah skim itu.

"Jumlah individu yang berkerja sendiri di seluruh negara adalah kira-kira 2.89 juta orang.

"Berdasarkan angka itu, hanya 20 peratus atau 634,215 daripada 2.89 juta OBS membuat caruman di bawah SKSPS," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di Pusat Rehabilitasi Perkeso di Permai Hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Perkeso negeri, Fariha Che Husin dan Pengurus Besar Permai Hotel, Noralizan Abd Rahman.

Pada majlis itu, Sivakumar turut menyampaikan bantuan alat pemulihan kepada tiga pencarum Perkeso yang sedang menjalani rawatan pemulihan di pusat berkenaan.

Sivakumar berkata, kira-kira 80 peratus daripada 2.89 juta OBS di seluruh negara belum membuat caruman di bawah SKSPS itu.

Katanya, jumlah individu yang berkerja sendiri di 20 sektor termasuk penghantar makanan, barangan, nelayan dan petani serta yang melakukan aktiviti berkerja sendiri layak memohon untuk mendapatkan perlindungan di bawah SKSPS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 2:35 PM