KETUA jurulatih NSFC, Azzmi Aziz. FOTO NSFC
KETUA jurulatih NSFC, Azzmi Aziz. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) sudah bersedia menurunkan barisan terbaik bagi menghadapi Johor Darul Ta`zim (JDT) pada aksi permulaan saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu ini.

Ketua jurulatih, Azzmi Ab Aziz menegaskan beliau sudah mendapat bayangan barisan kesebelasan utama yang akan diturunkan pada pertembungan itu nanti.

"Kami sudah ada barisan kesebelasan utama yang akan diturunkan bagi bertemu JDT, Sabtu ini dan berharap tiada gangguan atau kecederaan pemain pada saat akhir.

"Kami memang akui kehebatan dan reputasi besar JDT yang sangat bagus dalam saingan liga kita, apa yang penting pemain Negeri Sembilan perlu bersedia daripada segala aspek untuk menghadapi cabaran itu nanti," kata Azzmi.

Pengendali berusia 49 tahun itu mahu anak buahnya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap perancangan yang disusun agar persembahan terbaik dan berkualiti dapat diperagakan.

"Walaupun pemain sedar tugas dan tanggungjawab berat bakal dihadapi, mereka dilihat amat teruja untuk memulakan perlawanan Sabtu ini.

"Ia suatu sikap positif daripada pemain dan diharapkan mereka dapat menunjukkan tahap disiplin tinggi, sekali gus mendapat keputusan positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 11:21 PM