Perkeso. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Perkeso. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Omar Ahmad


PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor mensasarkan 68,000 pekerja sendiri di negeri berkenaan membuat caruman mengikut Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), tahun ini.

Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang berkata, dianggarkan terdapat 274,400 individu yang bekerja sendiri di seluruh Johor.

Katanya, mengikut data dikeluarkan Jabatan Perangkaan, Johor adalah negeri ketiga selepas Selangor dan Sabah yang mempunyai jumlah pekerja sendiri teramai.

“Sejak dilancarkan pada 1 Januari hingga 7 Februari lalu, terdapat 7,710 individu yang bekerja sendiri di bawah 19 sektor pekerja yang layak di bawah SKSPS sudah mencarum.

“Jumlah itu hanyalah 2.8 peratus sahaja daripada 274,400 pekerja yang bekerja sendiri,” katanya ketika ditemui di WISMA Perkeso Johor di Johor Bahru, pagi tadi.

Menurutnya, pihaknya akan mempergiatkan kempen supaya golongan sasaran menyedari manfaat SKSPS.

“Kita memang sedang mempergiatkan kempen dengan membuka ‘booth’ di pasar tani, pasar pagi termasuk mengedarkan risalah berkaitan kepada mereka yang bekerja di 19 sektor ini.

“Malah, kita juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengesan dan mendekati mereka,” katanya.

Dimaklumkan, SKSPS membuka caruman kepada 19 sektor pekerjaan layak mendapat perlindungan insurans Perkeso. Antara sektor itu seperti penjaja, seniman, pembinaan, pertanian, penternakan, perniagaan atas talian, perikanan, makanan dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 4:43 PM