Empat daripada lima anak lelaki Mohd Jaafar yang membantunya di kedainya di Kampung Jawa dengan seorang lagi menghantar makanan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Empat daripada lima anak lelaki Mohd Jaafar yang membantunya di kedainya di Kampung Jawa dengan seorang lagi menghantar makanan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: "Kerana sayangkan ayah, kami lima beradik kekal setia menemaninya berniaga hingga kini walaupun kami mempunyai peluang pekerjaan lain. Terima kasih ayah," ujar, Mohd Faroz, 39 bersama empat adiknya yang membantu bapanya menjual mi goreng di Kampung Jawa di sini.

Faroz dan empat adiknya, Mohd Firdaus 37, Mohd Helmi, 28, Akmal Rizal, 24 dan Afizarizal Mohd Jaafar, 20, memberitahu amat sayangkan ayah mereka Mohd Jaafar Haniffa, 70, yang banyak berkorban membesarkan mereka lima beradik.

Mohd Feros berkata, mereka lima beradik pernah terfikir untuk berhijrah dan memilih kerjaya lain sebelum ini.

"Namun hasrat itu dibatalkan kerana kami tidak sanggup berpisah dengan ayah yang banyak berjasa membesarkan kami sejak kecil.

"Dia mengusahakan perniagaan pelbagai jenis mi selain rojak udang di Kampung Jawa di sini, untuk menyekolahkan kami," katanya.

Menurutnya, perniagaan berusia 60 tahun itu diwarisi ayahnya daripada datuk mereka Allahyarham Haniffa Tamby Keci.

"Kami amat terharu dengan perjuangan dan semangat kental ayah. Malah dia turut mengajar semua kami cara memasak mi,

rojak, nasi goreng, mi rebus dan pelbagai makanan lain

"Sempena sambutan Hari Bapa hari ini (semalam) pastinya kami amat menghargai jasanya yang tidak terbalas sehingga ke akhir hayat. Berikutan itu kami bertekad untuk bersama-sama membantunya menjalankan perniagaan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Mohd Jaafar yang berasal dari Bandar Kaba di sini berkata, dia gembira kerana lima anak lelakinya itu terus setia menemani sepanjang masa.

Malah baginya, sambutan Hari Bapa lebih bermakna apabila semua anak lelakinya mahu meneruskan legasi perniagaannya itu .

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 3:25 PM