Beberapa OKU masalah pembelajaran membantu di gerai APIM. FOTO Azhar Ramli.
Beberapa OKU masalah pembelajaran membantu di gerai APIM. FOTO Azhar Ramli.
Redzuan Muharam


Semenyih: Biarpun ada kekurangan, empat insan istimewa diberi kepercayaan menyumbang bakti di gerai makanan diusahakan oleh Akademi Permata Impian (APIM), di sini, yang dibuka sepanjang Ramadan.

Pengasas APIM, Ahmat Saridan Suhairi@Kassim berkata, gerai yang terletak pusat latihan dan asas pekerjaan orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran itu dibuka sejak 2 Ramadan lalu.

Menurut Ahmat Saridan, matlamatnya adalah memberi OKU terbabit pendedahan dalam bidang perniagaan dan cara berurusan dengan pelanggan.

"Ini tahun ketiga APIM membuka gerai jualan makanan sempena Ramadan dan tahun ini, empat OKU yang juga pelatih APIM turut membantu di gerai.

"Mereka adalah anak sulung saya iaitu Iskandar Ahmat Saridan, 24 (disleksia), Abd Hadi Mohamad, 23, (autisme dan anak yatim), Maryam Mansur, 41 (mental) serta anaknya, Baidury Balqis Yasri, 18, yang mempunyai kepelbagaian ketidakupayaan," katanya ketika ditemui Harian Metro di gerai jualan APIM di hadapan Masjid Bandar Rinching, di sini, hari ini.

Ahmat Saridan berkata, Maryam menyediakan beberapa menu utama, selain terdapat beberapa menu yang dimasak oleh ibu pelatih APIM, manakala Iskandar, Baidury dan Abd Hadi membantu membungkus makanan dibeli oleh pelanggan.

Katanya, turut membantu adalah dua sukarelawan APIM iaitu Mashitah, 20, dan Mokhtam Othman, 50.

Katanya, gerai jualan dibuka bermula jam 4 petang menjual beberapa menu termasuk mi kari, mi jawa, rojak, nasi briyani nasi campur, kuih muih serta minuman.

"Syukur dan terima kasih kepada semua yang menyokong daripada awal sehingga kini.

"Sebahagian hasil jualan akan digunakan untuk menampung kos perbelanjaan di APIM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 6:15 PM