Man menggunakan teknik masak kerang rebus dengan dapur kayu.
Man menggunakan teknik masak kerang rebus dengan dapur kayu.
Oleh Nor Raidah Awang

Parit Buntar: Bagi penduduk Kuala Kurau dan daerah sekitarnya, menikmati kerang rebus Man Kerang menjadikan gerai yang terletak di Simpang Tiga Kuala Kurau, semakin popular.

Keenakan manis kerang rebus serta dicicah dengan kuah kacang di gerai itu menjadikan ia satu jenama kepada kampung Kuala Kurau yang menempatkan jeti nelayan dan hasil tangkapan segar memberi kelebihan kepada gerai makanan laut kawasan berkenaan.

Gerai yang padat dengan pelanggan selepas waktu berbuka, tidak keterlaluan dikatakan kerang rebus kini menjadi fenomena dan antara hidangan pilihan selepas solat Tarawih yang paling diminati.

Kesegaran dan keenakan kerang rebus itu berjaya menggamit ramai pengunjung bukan hanya masyarakat tempatan malah penduduk dari luar daerah Parit Buntar termasuk negeri berhampiran seperti Kedah, Pulau Pinang serta Kuala Lumpur untuk menikmati hidangan berkenaan.

Berbeza dengan kerang rebus dijual di tempat lain yankebiasaannya dimakan dengan sos, kuah kacang yang enak dengan campuran rasa manis dan pedas membuatkan pelanggan menyukainya.

Gerai yang dibuka sejak 18 tahun lalu menjadi antara gerai kerang rebus paling popular dan terus menjadi tumpuan sehingga kini.

Pemiliknya, Osman Sarip, 51, atau lebih mesra disapa sebagai Man Kerang akan dilihat sibuk melayan pelanggan dari meja ke meja sebaik gerai dibuka kira-kira 8.30 malam sehingga ditutup pada jam 2 pagi.

Menurut Osman, waktu selepas solat Tarawih iaitu antara jam 9.30 hingga 10 malam adalah waktu kemuncak bagi gerainya sehingga ada yang terpaksa beratur menunggu giliran untuk makan di meja.

“Setiap hidangan kerang rebus dijual pada harga RM5 sepinggan. Sepanjang Ramadan ini gerai akan dipenuhi pelbagai lapisan masyarakat khususnya selepas solat Tarawih.

“Ketika itu, kunjungan pelanggan bagaikan pesta, meriah yang hadir dengan berkopiah masih di kepala, kumpulan anak muda dan tidak kurang yang datang bersama keluarga,” katanya yang turut menawarkan menu sampingan seperti laksa, pasembor, cucur udang dan rojak.

Osman yang turut dibantu oleh isterinya, Siti Fauziah Awang, 49, dan anaknya berkata, dia memperuntukkan sekurang-kurangnya 300 kilogram kerang hampir setiap malam untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Katanya, apabila mendapat tahu isterinya pandai membuat kuah kacang dan dimakan dengan kerang rebus, sejak itu minat berniaganya muncul.

“Dulu cuma berniaga kecil-kecilan, buka tujuh meja, sekarang syukur perniagaan berkembang, ada 50 meja,” katanya.

Mengenai rahsia perniagaan kekal lama berbanding gerai kerang rebus lain, Osman berkata, selain layanan, apa yang paling penting ialah kuah kacang dan teknik kerang direbus.

Katanya, kerang mentah yang segar perlu disimpan dengan rapi supaya tidak busuk atau mati dan airnya tidak mengalir ke tempat lain.

“Saya juga akan pastikan kerang yang elok dan cantik isinya diperoleh daripada pembekal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 10:05 AM