M Nova adalah projek ketiga Mah Sing di Kepong.
M Nova adalah projek ketiga Mah Sing di Kepong.
M Luna diperkenalkan ketika pandemik pada 2020.
M Luna diperkenalkan ketika pandemik pada 2020.

PEMAJU hartanah Mah Sing Group Bhd menyasarkan segmen kediaman M Series miliknya menyumbang lebih 70 peratus kepada sasaran jualan bernilai RM2 bilion bagi tahun ini.

Bercakap pada majlis perasmian galeri jualan segmen M Nova di Kepong baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Ho Hon Sang berkata, pihaknya juga terus menawarkan produk yang menumpukan aspek mampu milik, kemampanan serta kualiti.

"Kami menyaksikan permintaan besar bagi hartanah dengan harga berpatutan di Lembah Klang berdasarkan peningkatan pertanyaan serta (kadar) penghunian yang baik bagi projek kami.

"Pembangunan kediaman mampu milik M Series yang merangkumi kediaman bertanah dan bertingkat, mencatat kadar penghunian yang baik. Kami yakin ini segmen yang menjadi pilihan pasaran dan sebagai pemaju yang berorientasikan rakyat, kami terus menawarkan kediaman sedemikian," katanya.

Selain itu, Ho berkata, M Nova adalah projek ketiga Mah Sing di Kepong selepas Lakeville Residence dan M Luna.

Lakeville dilancarkan beberapa tahun lalu manakala M Luna diperkenalkan ketika pandemik pada 2020 dan setakat ini, kadar penghunian M Luna mencecah 95 peratus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Subsidiari Hartanah Mah Sing Yeoh Chee Beng mengakui terdapat permintaan di Kepong iaitu lokasi M Nova yang bersempadan Selayang.

Beliau menjangkakan pembangunan bercampur-campur M Nova itu turut mencatat kejayaan seperti Lakeville dan M Luna berikutan lokasinya.

M Nova yang terletak di kawasan seluas 3.27 hektar dengan nilai pembangunan kasar RM790 juta, merangkumi tiga blok kediaman servis dan dilancarkan secara rasmi pada suku akhir 2022.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, kumpulan itu berhasrat menyerahkan pemilikan lebih 4,000 unit tahun ini yang menyumbang dari segi penampan tunai kukuh bagi aktiviti tanah simpanan kumpulan.

Mah Sing mempunyai baki tunai dan bank selain pelaburan dana jangka pendek yang bernilai RM1.01 bilion setakat 31 Mac, 2022.

Menurutnya, kumpulan itu juga bersedia membeli lebih banyak tanah bagi mengulangi kejayaan perumahan M Series.

Selain Lembah Klang, Mah Sing juga menyasarkan untuk menjalankan projek di Pulau Pinang, Johor, Seremban, Melaka dan Perak.
- Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 7:00 AM