HO (lima dari kanan) ketika majlis pembukaan galeri jualan M Luna, baru-baru ini. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
HO (lima dari kanan) ketika majlis pembukaan galeri jualan M Luna, baru-baru ini. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Sri Ayu Kartika Amri


PEMBANGUNAN kediaman mampu milik oleh Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) menerusi projek M Luna dijangka bakal mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemaju hartanah terkemuka tempatan.

M Luna adalah pembangunan dengan dua blok apartmen servis bertemakan konsep mewah mampu milik di Taman Wahyu, Batu Caves.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ho Hon Sang berkata, sebagai peneraju pasaran, Mah Sing sentiasa memahami kehendak pelanggan, dan komited membangunkan projek mampan dengan kualiti tinggi.

Katanya, dengan harga permulaan dari RM385,000, projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM705 juta itu dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada bakal pembeli berikutan lokasinya yang strategik iaitu bersebelahan Taman Metropolitan Kepong.

“Unit M Luna akan dibangunkan dengan perancangan yang teliti dan menyeluruh bermula 700 kaki persegi serta dilengkapi dua hingga empat bilik tidur pada harga mampu milik.

“Dengan penetapan harga strategik disokong oleh kemudahan menarik yang disediakan, M Luna menyasarkan pembeli daripada golongan pembeli rumah pertama, pembeli yang mahu menaik taraf rumah, profesional bekerja dan pasangan muda.

PROJEK Mah Sing Group, M Luna yang akan dibina di Taman Wahyu Kuala Lumpur.
PROJEK Mah Sing Group, M Luna yang akan dibina di Taman Wahyu Kuala Lumpur.

“Kami yakin M Luna akan diterima baik dalam pasaran malah sehingga kini, kami menerima jumlah pendaftaran yang amat memberangsangkan bagi hartanah berkenaan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran pembukaan galeri jualan M Luna, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Duta Khas Malaysia ke China, Tan Kok Wai; Ketua Operasi Mah Sing, Yeoh Chee Beng dan Pengarah Eksekutif Mah Sing, Datuk Steven Ng.

M Luna dibangunkan di atas tapak seluas 2.21 hektar dengan dua menara utama yang menawarkan 1,672 unit kediaman.

Projek eksklusif itu akan menikmati keindahan Hutan Simpan Bukit Lagong berhampiran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong dan 200 meter dari Taman Metropolitan Kepong.

Pembangunan M Luna dijangka siap sepenuhnya menjelang 2024 dan bagi melihat unit contoh, Mah Sing membuka galeri jualan M Luna kepada orang ramai setiap hari bermula 10 pagi hingga 6 petang.

Galeri jualan empat tingkat itu terletak di Lakeville Residence dan hanya lima kilometer dari tapak projek sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 12:27 PM