POLIS memeriksa lokasi kejadian dua kanak-kanak termakan makanan ringan mempunyai racun tikus. FOTO Ahmad Mukhsein Mukhtar
POLIS memeriksa lokasi kejadian dua kanak-kanak termakan makanan ringan mempunyai racun tikus. FOTO Ahmad Mukhsein Mukhtar
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Sepasukan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menemukan peket kecil yang dipercayai racun tikus di kawasan rumah jiran dua beradik yang juga pemilik kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, dalam pemeriksaan di sini, hari ini.

Difahamkan, pasukan itu mengambil bungkusan bertulisan Cina yang disyaki pembungkus racun tikus jenis serbuk itu berdekatan kawasan longgokan sampah.

Dalam pada itu, tinjauan di rumah pemilik kebun itu yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa didapati tiada penghuni.

Malah, sepasukan polis yang dilihat mengunjungi rumah itu hari ini namun mendapati pemiliknya tidak berada di kediaman itu.

Pasukan polis menghabiskan masa kira-kira sejam untuk menunggu pemilik rumah berkenaan sebelum meninggalkan lokasi pada 12.15 tengah hari.

Semakan susulan yang dilakukan di kampung itu juga menunjukkan rumah itu masih kosong sehingga kini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi mengesahkan tiada sebarang tangkapan dilakukan pihak polis setakat ini.

Dalam pada itu, pasukan daripada KKM juga dilihat mengunjungi tempat kejadian hari ini untuk melakukan pemeriksaan di sekitar rumah berkenaan.

Sebelum ini, polis sudah mengambil keterangan daripada dua individu berusia 53 dan 34 tahun yang disyaki meletakkan bungkusan makanan ringan mengandungi racun itu pada dawai besi sekeliling pagar kebunnya.

Dalam kejadian Ahad lalu, Muhammad Akil Syauqi, 3, dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, disedari ibu mereka dalam keadaan mulut berbuih dan muntah di atas katil rumah di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di sini selepas termakan keropok bercampur racun tikus.

Muhammad Akil Syauqi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pulau Pinang (HPP) sejak dimasukkan ke hospital itu sejak hari kejadian.

Sementara itu, Muhammad Luth Syauqi yang turut menerima rawatan di hospital sama masih belum sedarkan diri sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 5:26 PM