PROJEK M Senyum di Sepang yang akan dilancarkan tahun ini.
PROJEK M Senyum di Sepang yang akan dilancarkan tahun ini.

Kuala Lumpur: Pemaju hartanah Mah Sing Group Bhd merancang melancarkan hartanah bernilai RM2.4 bilion tahun ini termasuk beberapa projek di Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Pengasas dan Pengarah Urusannya Tan Sri Leong Hoy Kum dalam kenyataan berkata, syarikat itu merancang melancarkan M Senyum di Sepang, M Astra di Setapak, M Nova di Kepong, M Panora di Rawang, Selangor, fasa berbaki Ferringhi Residences di Pulau Pinang dan unit bersambung dua tingkat di Meridin East, Johor Bahru.

Beliau berkata, Mah Sing juga menumpu untuk membeli tanah yang sesuai bagi produk mampu milik di Greater Kuala Lumpur, Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

"Mah Sing juga sedang mencari tanah kediaman dan perindustrian berharga menarik di luar Lembah Klang seperti Seremban, Melaka dan Perak bagi projek yang berharga mampu milik," katanya sambil menambah syarikat itu merupakan pemaju yang menumpukan kepada pertumbuhan, disokong oleh lembaran imbangannya yang kukuh.

Sementara itu, katanya, syarikat tersebut juga sudah menebus sepenuhnya nilai nominal RM650 juta sekuriti kekal senior tidak dinilai (kekal) pada tarikh penebusan pertama pada 4 April, 2022.

Hasil daripada terbitan itu digunakan terutamanya untuk mempercepat pembinaan projek dengan kadar pembelian yang baik serta bagi simpanan tanah dan modal kerja.

Leong berkata, keupayaan kukuh syarikat itu dalam menyiapkan projek sudah membolehkan ia menetapkan sasaran pemilikan penghunian tinggi bagi 2022 berbanding tahun lalu.

"Ini akan meningkatkan lagi aliran tunai kami. Kami juga mempunyai sasaran jualan tinggi sebanyak RM2 bilion pada 2022, pertumbuhan 25 peratus daripada 2021. Harga akan menjadi menarik, dengan 60 peratus daripada hartanah kami berharga di bawah RM500,000 dan 94 peratus di bawah RM700,000," katanya.

Menurutnya, syarikat itu menjangka mencatatkan prestasi lebih baik tahun ini susulan jualan tinggi dan pemulihan semula aktiviti pembinaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 7:00 AM