Tan Sri Leong Hoy Kum
Tan Sri Leong Hoy Kum
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) optimis permintaan untuk rumah daripada pembeli rumah kali pertama kekal berdaya tahan.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pihaknya yakin mengenai prospek jangka pertengahan hingga panjang bagi sektor hartanah, disokong oleh permintaan asas yang kukuh oleh populasi muda.

Katanya, Mah Sing mencatatkan jualan hartanah sebanyak RM1.8 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023, meningkat 14.4 peratus berbanding RM1.57 bilion yang disaksikan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Momentum jualan yang mengagumkan ini didorong oleh kadar pengambilan yang mantap dalam pembangunan M Series.

"Memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) meramalkan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar untuk Malaysia adalah pada 4.0 hingga 5.0 peratus menjelang 2024.

"Kami melihat momentum kukuh yang berterusan bagi pembangunan M Series kami yang menyasarkan pembeli rumah kali pertama," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kumpulan juga terus mendapat manfaat daripada pengecualian duti setem selama lima tahun untuk hartanah kediaman berharga di bawah RM500,000 bagi pembeli rumah kali pertama,

Selain itu katanya, rancangan kerajaan dalam mengurangkan syarat semasa permohonan Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), dilihat tepat pada masanya untuk menarik pembeli asing.

Dalam pada itu, beliau berkata, Mah Sing sudah memperoleh lima bidang tanah pada tahun ini, khusus untuk projek M Terra serta M Hana di Puchong, M Tiara di Johor Bahru, M Legasi di Semenyih, M Zenya di Kepong dan M Azura di Setapak.

"Pengambilalihan ini secara kolektif meningkatkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM5.5 bilion," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 6:01 AM