M Zenya Sales Gallery di Sungai Mas Plaza, Jalan Ipoh. FOTO Amirudin Sahib
M Zenya Sales Gallery di Sungai Mas Plaza, Jalan Ipoh. FOTO Amirudin Sahib
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) meraikan satu lagi pencapaian dengan merekodkan kadar pengambilan 92 peratus pada pembangunan terbaharunya, M Zenya.

Sebagai projek keempat Mah Sing di Kepong, M Zenya mengukuhkan lagi kehadiran syarikat di kawasan itu, selepas kejayaan projek pembangunan Lakeville Residence, M Luna dan M Nova.

Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, sebagai pemaju hartanah yang dipacu pasaran, ia menawarkan produk yang dapat memenuhi permintaan adalah penting, oleh itu lokasi pembangunan adalah salah satu faktor asas.

"Kami percaya Kepong menonjol sebagai lokasi yang ideal untuk pembeli rumah kerana kedudukannya strategik di tengah-tengah kawasan kejiranan yang mantap, kemudahan yang lengkap, infrastruktur sedia ada dan mudah diakses ke pelbagai bahagian bandar dan pinggir bandar.

"Kejayaan M Zenya adalah bukti bahawa pembangunan Siri M kami adalah yang dicari oleh pembeli rumah.

"Dengan kehadiran jenama kami yang kukuh dan rekod prestasi baik serta kunci kira-kira yang sihat dan kukuh, kami akan terus meninjau tanah yang lebih strategik," katanya di majlis pelancaran Galeri Jualan M Zenya di sini, semalam.

M Zenya ialah pembangunan bercampur membabitkan lot runcit dan unit kediaman dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM500 juta.

M Zenya terletak secara strategik bersebelahan dengan Dataran Kepong dan Tasik Metropolitan.

Dibina di atas tanah berkeluasan 1.97 hektar, M Zenya terdiri daripada 23 lot runcit dan unit kediaman pilihan dua, tiga dan empat bilik tidur, dengan binaan antara 762 hingga 1,067 kaki persegi dan harganya bermula RM420,000.

Ia adalah projek keempat kumpulan di Kepong, selepas M Luna, M Novadan Lakeville Residence.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 12:44 PM