Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mempunyai rancangan untuk mengeluarkan lebih banyak lesen bank digital selain daripada lima yang sudah diumumkan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menerusi temu bual secara eksklusif bersama Bernama baru-baru ini berkata, tumpuan segera untuk memastikan bank digital dapat memulakan operasi mereka tanpa sebarang penangguhan.

"Ini bagi memastikan penerima lesen mula menyampaikan proposisi nilai yang dijanjikan bagi memenuhi keperluan segmen yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan kewangan," katanya.

Menurutnya, dalam memutuskan untuk memberikan lima lesen, BNM mempertimbangkan banyak faktor, seperti saiz sistem perbankan negara berbanding ekonomi.

"Ia bukan seperti "lebih banyak, lebih meriah!".

"Adalah penting bagi kita untuk mengimbau kembali keadaan pada 1990-an, yang mana kita mempunyai sejumlah besar bank domestik, tetapi kebanyakannya tidak mempunyai kekuatan kewangan, saiz dan skala untuk beroperasi secara berdaya maju atau bersaing dengan berkesan.

"Apa yang jelas, rakyat Malaysia tidak memerlukan jumlah bank yang lebih banyak.

"Kita juga tidak boleh melupakan krisis kewangan Asia yang mana ekonomi negara mengalami kemelesetan yang paling teruk disebabkan oleh beberapa bank lemah yang gagal - dengan kesannya ditanggung oleh pembayar cukai," katanya.

Gabenor berkata, penyertaan bank digital dijangka merangsang pengenalan model perniagaan inovatif dan produk serta perkhidmatan baharu.

"Dalam Rangka Tindakan Sektor Kewangan yang kami keluarkan baru-baru ini, tema utama yang kami tekankan adalah 'kewangan untuk semua'.

"Bagi BNM, ia adalah untuk memastikan pelanggan mempunyai pilihan lebih meluas dalam perkhidmatan kewangan bagi memenuhi keadaan dan keperluan khusus mereka.

"Dengan sektor perbankan yang lebih dinamik, keperluan semua segmen ekonomi akan seterusnya dapat dipenuhi dengan lebih baik - bukan untuk hari ini sahaja, tetapi juga pada masa hadapan.

"Apa yang lebih penting, bank digital baharu itu dijangka dapat menangani keperluan kewangan yang tidak dapat dipenuhi bagi segmen pelanggan yang kurang mendapat perkhidmatan dan tidak mendapat perkhidmatan," katanya.

BNM meluluskan lima konsortium untuk lesen bank digital iaitu tiga pemohon dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) iaitu Konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Berhad; Konsortium yang diterajui oleh GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd dan Konsortium yang diterajui Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd.

Manakala pemohon yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI) adalah Konsortium AEON Financial Service Co, Ltd, AEON Credit Service (M) Berhad dan MoneyLion Inc dan Konsortium yang diterajui oleh KAF Investment Bank Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 7:48 AM