Tan Sri Nor Shamsiah.
Tan Sri Nor Shamsiah.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Lima pemohon berjaya mendapatkan lesen bank digital daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang diluluskan oleh Menteri Kewangan Malaysia.

BNM dalam kenyataan berkata, tiga pemohon dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) iaitu Konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Berhad; Konsortium yang diterajui oleh GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd; dan Konsortium yang diterajui oleh Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd.

Manakala, pemohon yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI) adalah Konsortium AEON Financial Service Co, Ltd, AEON Credit Service (M) Berhad dan MoneyLion Inc; dan

Konsortium yang diterajui oleh KAF Investment Bank Sdn Bhd.

Tiga daripada lima konsortium ini dimiliki secara majoriti oleh warga Malaysia iaitu Boost Holdings dan RHB Bank Berhad, Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd dan KAF Investment Sdn Bhd.

BNM berkata, kesemua 29 pemohonan yang diterima telah dinilai secara menyeluruh mengikut seksyen 10 (1) APK dan APKI1 yang menghendaki BNM mengambil kira semua faktor dalam Jadual 5 akta-akta tersebut dan keperluan dasar lain yang berkaitan.

Kriteria penilaian merangkumi kewibawaan dan integriti pemohon, bentuk dan kecukupan sumber kewangan, kekukuhan dan kebolehlaksanaan pelan perniagaan dan teknologi serta keupayaan untuk

menangani jurang rangkuman kewangan secara berkesan.

Permohonan dinilai mengikut merit pemohon serta perbandingan yang dibuat dengan permohonan

lain berdasarkan penilaian yang konsisten bagi setiap kriteria penilaian.

Sepanjang proses penilaian, BNM melaksanakan prosedur tadbir urus dan pertimbangan yang rapi bagi memastikan penilaian yang mantap, objektif dan konsisten bagi semua 29 permohonan yang diterima.

Penilaian yang dilaksanakan melalui empat tahap yang disokong oleh satu pasukan teknikal bersilang fungsi, satu pasukan yang menyemak permohonan dan pemerhati bebas dalaman daripada jabatan risiko dan jabatan undang-undang BNM.

Syor muktamad kepada Menteri Kewangan telah dibincangkan dan disahkan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Pengurusan BNM.

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah berkata, bank digital dijangka dapat meningkatkan lagi rangkuman kewangan.

"Melalui penerapan teknologi digital secara lebih meluas untuk transaksi harian, kami dapat memberikan lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi dengan mengatasi halangan geografi, mengurangkan kos transaksi dan menggalakkan pengurusan kewangan lebih baik.

"Bank digital boleh membantu individu dan perniagaan mendapatkan akses yang lebih baik kepada penyelesaian yang lebih khusus berteraskan analisis data. Apabila perniagaan dilakukan secara dalam talian, perbankan digital turut menyediakan cara membuat transaksi yang lebih selamat dan mudah," katanya.

Berikutan pengumuman ini, pemohon yang berjaya akan melalui tempoh persediaan dari segi operasi yang akan disahkan oleh BNM melalui audit sebelum pemohon boleh memulakan operasi.

Proses ini mungkin mengambil masa antara 12 hingga 24 bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 3:23 PM