Bisnes HM

Kuala Lumpur: Proton Holdings Bhd (Proton) bekerjasama dengan Maxis bagi kes penggunaan teknologi 5G yang merangkumi pelbagai penyelesaian tertumpu untuk meningkatkan kilangnya di Tanjung Malim, Perak menerusi pemasangan rangkaian bermula Oktober 2021.

Dalam kenyataan bersama, pengeluar kereta nasional dan syarikat telekomunikasi itu berkata, perkongsian terbabit sebahagian daripada strategi pertumbuhan Proton dalam pembangunan Proton City sebagai model bandar pintar menerusi alatan dan sistem terkini.

Ia juga sejajar komitmen Maxis untuk menyampaikan inovasi dan penyelesaian 5G terbaik bagi perusahaan.

"Kes penggunaan itu bergantung kepada rangkaian 5G yang dibina khas dan Maxis menguruskan perkhidmatan secara menyeluruh untuk beberapa penyelesaian internet benda (IoT) di ibu pejabat pembuatan Proton di Tanjung Malim," katanya.

Katanya, penyelesaian itu termasuk sistem Keselamatan Pintar bagi menjejak dan memastikan keselamatan model kereta dihasilkan dari kilang pengeluaran dan sistem sokongan serta penyelenggaraan Realiti Terimbuh/Realiti Maya untuk jurutera Proton berkomunikasi dengan rakan kongsi antarabangsa dalam masa nyata.

"Inovasi menggunakan teknologi 5G pada akhirnya memenuhi visi Proton untuk membina Kampus Pembuatan Pintar melalui pemindahan data berkelajuan tinggi dan kependaman rendah serta memberikan mobiliti lebih baik.

"Ia juga memberi kebolehpercayaan dan ketersambungan lancar untuk komunikasi awam dan swasta, pemantauan keselamatan, pencahayaan pintar dan bangunan pintar," katanya.

Menurut Proton, teknologi 5G itu membolehkannya melanjutkan penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi kenderaan selular-untuk-semua (C-V2X) yang membolehkan pengeluar automotif itu mereka bentuk dan membina kenderaan autonomi kalis masa depan yang kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 8:22 AM