MCMANUS (atas, kiri) bersama pemenang.
MCMANUS (atas, kiri) bersama pemenang.
Rosyahaida Abdullah


Maxis meneruskan usaha memupuk inovasi perniagaan Internet Benda (IoT) dan teknologi generasi kelima (5G) menerusi Maxis IoT Challenge 2020 yang menyaksikan tiga pemaju sektor itu diumum sebagai pemenang cabaran itu.

Pemenang itu yang terdiri daripada Seamless, LinkUp Smart Solutions dan ITXOTIC masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000, RM10,000 dan RM5,000.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaannya, Paul McManus berkata, edisi kedua pertandingan itu adalah sebahagian kerjasama berterusan Maxis dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta rakan kolaborasi industri untuk mempromosikan pembangunan ekosistem IoT dan penyelesaian 5G untuk terus memacu ekonomi digital negara.

Menurutnya, cabaran itu disifatkan sebagai kaedah terbaik untuk memberikan insentif kepada industri dan membuka peluang kepada perusahaan dalam mereka bentuk model perniagaan baharu dengan lebih nilai buat pelanggan mereka.

"Selama beberapa minggu selepas dilancarkan pada 4 September lalu kita melihat bakat yang cukup inovatif di seluruh Malaysia bekerja keras sebelum membentangkan prototaip penyelesaian mereka kepada panel hakim untuk pertandingan ini pada Oktober.

"Kami gembira melihat inovasi yang dicipta oleh semua peserta dalam cabaran ini dan berharap ia bukan saja membuka peluang kepada mereka untuk menjadi antara pemaju pertama mencuba dan mengkomersialkan penyelesaian 5G malah secara tidak langsung mencetuskan perubahan positif buat negara," katanya pada sesi pengumuman pemenang yang diadakan secara maya, semalam.

Katanya, teknologi IoT mempunyai potensi yang besar dan Maxis komited untuk membentuk dan memacu pengunaannya demi manfaat perniagaan di seluruh negara.

"Maxis IoT Challenge mewakili tujuan kami yang lebih luas untuk membawa teknologi terbaik dalam membolehkan rakyat, perniagaan dan negara terus menerajui dalam persekitaran dunia yang kian berubah," katanya.

Sementara itu, pemenang tempat pertama iaitu Seamless berjaya menambat hati juri menerusi penyelesaian pemantauan aset runcit automatik yang dikuasakan oleh 5G, IoT dan Kecerdasan Buatan (AI) dibawah kategori Immersive Retail Experiences (Pengalaman Runcit Yang Mendalam).

Manakala tempat kedua yang diraih LinkUp Smart Solutions tampil dengan penyelesaian yang menyatukan keselamatan dan kawalan rumah dalam sistem gabungan bagi kategori "Enhancing Township Security" (Meningkatkan Keselamatan Perbandaran).

Tempat ketiga pula yang dimenangi ITXOTIC mengetengahkan sistem keselamatan yang

dikuasakan oleh AI dman penggunaan 5G menggunakan kamera CCTV sedia ada, juga dibawah kategori Meningkatkan Keselamatan Perbandaran.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, cabaran anjuran Maxis yang bertemakan "Transforming Industry Challenges Today to Business Opportunities Tomorrow" itu adalah antara pemacu penting ke arah pendigitalan negara.

"Saya menyambut baik platform dan peluang yang wujud dalam Maxis IoT Challenge ini untuk menyerlahkan bakat tempatan melalui inovasi dalam teknologi.

"Kemajuan ekosistem pengusaha dan perniagaan kecil adalah pemangkin yang bakal memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat dan mempercepat ekonomi digital dan kreatif Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Selain tiga pemenang utama, dua pasukan finalis iaitu Virtual X dan KMSB turut dinobatkan sebagai Aplikasi Terbaik dengan hadiah wang tunai RM1,000 bagi setiap finalis disertai peranti Microsoft Surface Pro 7 tajaan Microsoft.

Bagi menghargai penyertaan yang menggalakkan, Maxis turut memberikan dua pelan Maxis Postpaid 98 kepada kesemua 13 pasukan finalis dengan langganan percuma selama 12 bulan untuk kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 7:15 AM