Pemberian makanan kepada golongan gelandangan di Taman Tun Sri Lanang, Johor Bahru.
Pemberian makanan kepada golongan gelandangan di Taman Tun Sri Lanang, Johor Bahru.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) kekal komited dalam usahanya memberikan sokongan dan bantuan kepada perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komuniti terjejas dalam tempoh pandemik Covid-19.

Memandangkan impak besar yang diterima sepanjang tempoh yang tidak pernah dijangka ini, Yayasan TM (YTM), melancarkan program bantuan makanan yang dikenali sebagai Inisiatif Tolong Menolong sebagai sebahagian inisiatif berterusan gerakan Malaysia Prihatin.

Pengarah YTM, Izlyn Ramli berkata, program yang berlangsung selama dua bulan ini bertujuan untuk membantu perniagaan PKS tempatan, antaranya kedai barangan keperluan, kedai runcit, dan restoran serta kumpulan masyarakat yang memerlukan termasuk keluarga dari golongan B40 dan gelandangan yang terkesan dengan wabak dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, bagi inisiatif ini, YTM bekerjasama dengan pejabat TM negeri di seluruh negara untuk mengenal pasti PKS tempatan dan menyediakan keperluan asas kepada penerima untuk meringankan beban mereka dalam masa mencabar ini.

"Kami memahami bahawa PKP perlu dilaksanakan demi menjaga keselamatan rakyat Malaysia semasa berlakunya pandemik ini, tetapi ia membawa cabaran tersendiri terhadap kehidupan kita.

"Selain daripada inisiatif lain yang terus dilakukan bagi membantu negara untuk bangkit semula, kami sudah melaksanakan Inisiatif Tolong Menolong di seluruh negara yang menerapkan pendekatan dua serampang bagi menyediakan keperluan asas kepada mereka yang memerlukan dengan membeli barangan daripada perniagaan PKS tempatan di kawasan sekitar mereka.

"Ini akan membantu penerima bantuan dan pada masa yang sama membantu kelangsungan PKS tempatan yang terjejas.

"Kami berharap bantuan yang tidak seberapa ini dapat menjadikan kehidupan dan perniagaan lebih mudah buat mereka dan berpeluang untuk membina semula kehidupan mereka bersama-sama," katanya dalam kenyataan.

Inisiatif ini yang bermula pada 20 Ogos 2021 di seluruh negara, bakal memberi manfaat kepada lebih 140 perniagaan PKS, yang dipilih sebagai pusat pengumpulan bagi 14,000 keluarga yang sudah dikenal pasti untuk mendapatkan bantuan bekalan makanan asas mereka di kawasan masing-masing.

Sehingga kini, Kumpulan TM termasuk YTM sudah memperuntukkan hampir RM20 juta melalui pelbagai inisiatif bagi meringankan bebanan kehidupan masyarakat yang terjejas dan sokongan berterusan terhadap agenda pembangunan negara dan kebajikan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 6:24 PM