RAKYAT ketika ini amat memerlukan bantuan daripada kerajaan untuk kelangsungan hidup.
RAKYAT ketika ini amat memerlukan bantuan daripada kerajaan untuk kelangsungan hidup.
Sri Ayu Kartika Amri


PELAKSANAAN sekatan pergerakan penuh perlu disertai dengan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan secara komprehensif.

Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, rakyat ketika ini amat memerlukan bantuan daripada kerajaan.

Katanya, antara langkah yang perlu diambil kerajaan adalah dengan memperkenalkan semula moratorium kepada semua pihak yang terjejas pendapatan ketika sekatan pergerakan penuh ini sehingga Disember 2021 atau sekurang-kurangnya sehingga September 2021.

"Kerajaan boleh mempertimbangkan melaksanakan pengurangan 50 peratus Kadar Faedah Semasa (KFS) untuk semua jenis pinjaman bagi meringankan beban rakyat.

"Ini disebabkan oleh bank tempatan di Malaysia masih kekal mencatatkan keuntungan untuk tahun 2020 meskipun prestasi keuntungan lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

"Oleh demikian, moratorium adalah sesuatu yang perlu dilakukan pada ketika ini dan dengan pelaksanaan moratorium ini maka rakyat yang terjejas pendapatan masih mampu untuk membeli barangan keperluan asas dan makanan untuk meneruskan kehidupan seharian," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 juga perlu diteruskan sehingga akhir tahun ini kerana inisiatif ini dilihat benar-benar memberi kesan positif dalam membantu perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bernafas.

"PSU pertama hingga ketiga telah berjaya menurunkan kadar pengangguran negara.

"Oleh itu, total lockdown kali ini perlu meneruskan PSU 4.0 sehingga Disember 2021 yang berperanan sebagai serampang dua mata iaitu meneruskan survival perniagaan terutamanya PKS agar tidak gulung tikar.

"Selain itu, ia membantu rakyat Malaysia agar masih memperolehi pendapatan walaupun berkemungkinan pendapatan berkurangan serta dapat mengawal kadar pengangguran daripada meningkat secara mendadak," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kaji selidik kesan PKP 1.0 pada isi rumah dan perniagaan oleh kementerian Kewangan Malaysia (MoF) sebelum ini menunjukkan bahawa ia antara lain menggugat mata pencarian 2.8 juta rakyat yang bekerja sendiri atau mengambil upah harian.

Anuar Shah berkata, satu pertiga (isi rumah dan perniagaan) tidak mampu untuk mengekalkan perbelanjaan lebih daripada sebulan, 82 peratus pekerja sektor swasta hanya mempunyai simpanan kurang daripada dua bulan, 68 peratus perniagaan melaporkan tiada jualan atau hasil ketika PKP 1.0 dan 42.5 peratus perniagaan memerlukan lebih enam bulan untuk pulih.

Justeru katanya dengan memperkenalkan semula moratorium dan PSU 4.0 dilihat antara langkah yang dapat membantu rakyat terjejas pada situasi sukar ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 7:20 AM