BARANGAN yang disediakan untuk golongan memerlukan.
BARANGAN yang disediakan untuk golongan memerlukan.

TELEKOM Malaysia Berhad (TM) kekal komited dalam usahanya memberikan sokongan dan bantuan kepada perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komuniti yang terjejas dalam tempoh pandemik Covid-19.

Memandangkan impak besar yang diterima sepanjang tempoh yang tidak pernah dijangka ini, Yayasan TM (YTM) melancarkan program bantuan makanan yang dikenali sebagai Inisiatif Tolong Menolong sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan gerakan Malaysia Prihatin.

Program yang akan berlangsung selama dua bulan ini bertujuan untuk membantu perniagaan PKS tempatan, antaranya kedai barangan keperluan, kedai runcit dan restoran serta kumpulan masyarakat yang memerlukan termasuk keluarga dari golongan B40 dan gelandangan, yang terkesan dengan wabak dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Melalui inisiatif ini, YTM bekerjasama dengan pejabat TM negeri di seluruh negara untuk mengenal pasti PKS tempatan dan menyediakan keperluan asas kepada penerima untuk meringankan beban mereka dalam masa yang mencabar ini.

Pengarah YTM, Izlyn Ramli berkata, pihaknya memahami PKP perlu dilaksanakan demi menjaga keselamatan rakyat Malaysia ketika berlakunya pandemik ini, tetapi ia membawa cabaran yang tersendiri terhadap kehidupan.

"Di sini peranan YTM dan Kumpulan TM untuk terus memberikan bantuan semampu kami, menerapkan semangat Malaysia Prihatin dan #kitajagakita.

"Selain daripada inisiatif lain yang terus dilakukan bagi membantu negara untuk bangkit semula, kami sudah melaksanakan Inisiatif Tolong Menolong di seluruh negara melalui penyediaan keperluan asas kepada mereka yang memerlukan dengan membeli barangan daripada perniagaan PKS tempatan di kawasan sekitar mereka.

"Ini akan membantu penerima bantuan dan pada masa sama membantu kelangsungan PKS tempatan yang terjejas.

"Kami berharap bantuan yang tidak seberapa ini dapat menjadikan kehidupan dan perniagaan lebih mudah buat mereka, dan mereka berpeluang untuk membina semula kehidupan mereka bersama-sama," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, inisiatif ini, yang bermula 20 Ogos lalu di seluruh negara, bakal memberi manfaat kepada lebih daripada 140 perniagaan PKS, yang dipilih sebagai pusat pengumpulan bagi 14,000 keluarga yang dikenal pasti untuk mendapatkan bantuan bekalan makanan asas mereka di kawasan masing-masing.

Program itu juga sebahagian daripada usaha bantuan kemanusiaan kolektif oleh GLC/GLIC Disaster Response Network (GDRN), di mana YTM menjadi teraju bersama dengan Yayasan Hasanah milik Khazanah Nasional Berhad, di bawah Dana Bantuan Kementerian Kewangan (MOF)-GDRN Permai 2021; geran padanan yang diumumkan di bawah Inisiatif Enam

Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia (Permai) untuk memberi bantuan segera kepada mereka yang terkesan dengan wabak Covid-19 dan bencana alam.

Awal tahun ini, TM mengagihkan RM1.5 juta Dana Bantuan MOF-GDRN Permai 2021 TM melalui 17 NGO di seluruh negara dan memberi manfaat kepada lebih daripada 10,000 keluarga daripada pelbagai latar belakang.

Selain itu, di bawah dana ini juga, bersama-sama dengan Persatuan OKU Sentral dan rakan-rakan GDRN, TM baru-baru ini menyumbang bekalan makanan selama sebulan buat barisan hadapan dan sukarelawan yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu khusus untuk komuniti yang memerlukan bantuan khas, termasuk penjaga mereka dan warga emas di Johor Bahru.

Sehingga kini, Kumpulan TM termasuk YTM memperuntukkan hampir RM20 juta melalui pelbagai inisiatif bagi meringankan bebanan kehidupan masyarakat yang terjejas, dan dalam sokongan berterusan terhadap agenda pembangunan negara dan kebajikan masyarakat dalam tempoh mencabar ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 7:10 AM