FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) memperuntukkan jaminan sebanyak RM10 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 bagi membantu kebolehupayaan dan pemulihan perniagaan.

CGC turut menegaskan komitmennya untuk menyokong PKS dalam usaha mereka untuk membaik pulih perniagaan bertunjangkan keberanian, kekuatan dan kemampuan untuk bangkit semula.

Pengerusi CGC, Datuk Mohammed Hussein berkata, negara sedang menghadapi gelombang ketiga pandemik Covid-19 serta membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan beberapa bulan akan datang bakal membawa pelbagai cabaran untuk keseluruhan sektor PKS.

"CGC yakin terhadap pelbagai pakej bantuan seperti Pemerkasa dan Pemerkasa Tambahan akan dapat membantu mengurangkan beban PKS. Pakej bantuan ini serta Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang berjalan juga akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi Malaysia.

"Pada masa yang mencabar seperti ini, CGC akan terus memainkan peranan untuk menyokong kemampanan dan pemulihan PKS," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, di sebalik landskap ekonomi yang mencabar pada 2020, CGC mencatat prestasi yang baik.

Katanya, ini didorong oleh matlamat CGC untuk membantu PKS dengan lebih baik melalui produk dan perkhidmatan yang inovatif, bagi memenuhi keperluan mereka di pelbagai peringkat perniagaan.

"Pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi yang menyusul mengakibatkan keuntungan bersih CGC berkurang sebanyak RM106.8 juta (49.6 peratus), dari RM215.3 juta pada 2019 kepada RM108.5 juta pada 2020," katanya.

Beliau berkata, CGC berjaya mencapai matlamatnya dalam Pelan Strategik 5-tahun (5SP) 2016-2020 dan kini memasuki tahun pertama 5SP 2021-2025.

Matlamat CGC ialah untuk mengukuhkan inisiatif transformasi dan menjadi Rakan Kemajuan PKS di Setiap Tahap Kehidupan, selaras dengan inisiatif CGC Beyond Guarantee dan kesedaran terhadap kesan pandemik Covid-19 semasa serta cabaran yang dihadapi PKS.

Menurutnya, CGC menerapkan digitalisasi secara berterusan bagi membolehkan PKS mendapat produk pembiayaan dalam talian secara mudah, di mana jua dan bila-bila masa melalui imSME.

Di samping itu, melalui inisiatif Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP@CGC), CGC juga menawarkan khidmat nasihat bagi meningkatkan peluang PKS memperolehi kelulusan pinjaman daripada pihak bank apabila permohonan terdahulu mereka gagal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 7:40 AM