DARI kiri, Aria Putera, Md Silmi dan Nor Hamidah pada majlis memeterai kerjasama strategik BSC.
DARI kiri, Aria Putera, Md Silmi dan Nor Hamidah pada majlis memeterai kerjasama strategik BSC.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) melancarkan dana pembiayaan berjumlah RM200 juta di bawah Program Pembiayaan Dana Rantaian Bekalan Bumiputera (BSC).

Dana itu akan ditawarkan menerusi kerjasama strategik dengan SME Bank dan Bank Muamalat Malaysia Bhd di mana masing-masing menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM100 juta untuk sektor borong dan runcit serta penjagaan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md Silmi Abd Rahman berkata, program ini memberi tumpuan kepada sektor 'ekonomi pandemik' di mana ia sangat berpotensi dan relevan untuk disertai usahawan Bumiputera.

"Ia antara lain meliputi segmen logistik bagi sektor borong dan runcit serta penjagaan kesihatan yang mana penyertaan Bumiputera dalam perniagaan seperti ini masih rendah.

"Industri logistik sedia ada menyumbang 22 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan penyertaan 40,000 syarikat, namun hanya 5,000 syarikat atau 12.5 peratus adalah milik Bumiputera.

"Ia menjadi satu kerugian jika bidang yang berdaya saing ini tidak dapat disertai peniaga Bumiputera atas sebab kekangan aliran tunai atau masalah lain.

"Maka, program BSC ini diwujudkan bagi meningkatkan pembabitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera melalui program pembiayaan seperti ini untuk mencapai sasaran RM15.9 bilion lebihan operasi kasar Bumiputera dalam bidang logistik menjelang 2030," katanya pada majlis memeterai kerjasama strategik BSC secara maya, semalam.

Ia turut disertai SME Bank diwakili oleh Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aria Putera Ismail manakala Bank Muamalat oleh Ketua Bahagian Perbankan Perniagaan, Nor Hamidah Abu Bakar.

Katanya, sekurang-kurangnya 30 syarikat Bumiputera disasarkan untuk mendapat manfaat dengan kesan peningkatan jualan atau keuntungan sebanyak 10 peratus sepanjang pelaksanaan program ini.

Kerjasama Teraju bersama SME Bank melalui BSC dalam sektor borong dan runcit itu adalah kesinambungan kepada program dana Teras sejak 2012.

Ia bertujuan menyediakan bantuan kewangan kepada PKS Bumiputera di dalam keseluruhan rantaian bekalan bagi sektor borong dan runcit yang merangkumi pengilang, pengeluar, pemborong, pengedar, peruncit seterusnya pembekal perkhidmatan termasuklah logistik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 7:01 AM