SRI GANESH MICHIEL
SRI GANESH MICHIEL
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Inisiatif yang diumumkan kerajaan menerusi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) pada Isnin lalu mampu menyokong kelangsungan industri perhotelan negara.

Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel berkata, pihaknya turut berharap agensi berkaitan dapat memainkan peranan dengan lebih efisien bagi memastikan bantuan itu dapat diterjemah dan diterima golongan sasar.

"Setiap saranan kerajaan perlu dipatuhi semua pihak dalam memastikan setiap ahli kami yang terjejas mendapat manfaat.

"Industri pelancongan dan perhotelan mengambil masa yang lama untuk kembali pulih dan rancak seperti sebelum ini," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, Program Subsidi Upah 3.0 dinaikkan kepada RM1,200, bantuan moratorium dan insentif cukai untuk tempoh munasabah perlu dikaji kerajaan dalam memastikan kelestarian industri itu untuk terus bernafas.

Menurutnya, MyBHA juga berharap industri ini akan kembali rancak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 tamat.

Katanya, lebih 2,300 ahli persatuan masih menaruh harapan bahawa momentum pelancongan domestik kembali rancak selepas ini.

Menerusi Permai, kerajaan mengumumkan pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi tempoh Januari ini sehingga Mac depan dan Program Subsidi Upah 3.0.

Selain itu, pelanjutan tempoh kuat kuasa ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual melalui Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Covid-19 2020 dan penekanan bantuan moratorium serta pengurangan bayaran balik pinjaman termasuk moratorium, lanjutan moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman bank.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 3:15 PM