DATUK Sulaiman Md Ali (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman (MOU) di antara Datuk Mohamad Saiful Md Safri (tiga kiri) dan Datuk Justin Lim (dua kanan) di Royale Chulan Hotel. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
DATUK Sulaiman Md Ali (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman (MOU) di antara Datuk Mohamad Saiful Md Safri (tiga kiri) dan Datuk Justin Lim (dua kanan) di Royale Chulan Hotel. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Melaka melancarkan secara rasmi koridor ekonomi baharu, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) yang berlangsung bagi tempoh 15 tahun bermula tahun lalu dan selesai sepenuhnya menjelang 2035.

M-WEZ adalah antara tunggak utama dalam Pelan Strategik Melakaku Jaya 2035 yang mampu merangsang RM100 bilion pelaburan dalam tempoh 15 tahun dan mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan baharu setiap tahun.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, koridor ekonomi persisir pantai itu membabitkan kawasan seluas 10,117 hektar sepanjang 33 kilometer (km) persisir pantai Melaka.

Katanya, kerajaan negeri menyifatkan kewujudan zon ekonomi itu adalah anjakan besar dalam agenda pembangunan Negeri Melaka dengan sasaran kemasukan pelaburan berkualiti tinggi dengan membawa masuk pekerja berkemahiran tinggi.

"Koridor ekonomi pesisir pantai ini dijangka membawa Melaka ke ambang baharu dan mengubah corak ekonomi serta sosial negeri selaras dengan era digital dan teknologi hijau.

"Memandangkan persaingan semakin meningkat, Melaka perlukan pemacu baharu dalam pembangunan ekonominya dan perlu membangunkan bidang pertumbuhan baharu lebih inklusif dan mampan," katanya pada majlis pelancaran M-WEZ di sini, hari ini.

Koridor ekonomi itu membabitkan lima zon utama iaitu Melaka Harbourfront, Smart Logistic Nucleus, Digital Satellite Township, Central Eco Business Park dan Trade Nucleus New Township.

Apabila siap kelak, Melaka Habourfront dijangka mempunyai pelabuhan, pusat perdagangan dan loji hidro, hab kontena dan kargo serta zon perindustrian bebas.

Smart Logistic Nucleus mempunyai hab logistik, pejabat pengurusan kontena dan kargo, institusi dan kemudahan masyarakat serta kawasan rekreasi komersial.

Bagi zon Digital Satellite Township dan Central Eco Business Park pula antaranya akan ditempatkan menara M-WEZ, hotel dan pejabat, perumahan dan penginapan, Pulau Upeh dijadikan pulau peranginan dan jeti marina.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 1:58 PM