SULAIMAN kiri) berbual dengan Syed Hussian. FOTO Fathil Asri
SULAIMAN kiri) berbual dengan Syed Hussian. FOTO Fathil Asri
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Faktor kedalaman pantai Melaka iaitu sekitar 30 meter menjadi kelebihan untuk mewujudkan pelabuhan baharu di negeri itu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, berbanding pelabuhan lain di negara ini, pantai Melaka mempunyai kedalaman yang sesuai untuk kapal kecil dan besar berlabuh sekali gus menjana ekonomi negeri berkenaan, sesuai dengan sejarahnya sebagai pusat perdagangan terpenting satu masa lalu.

Katanya, ia menjadi salah satu sebab mengapa Zon Pembangunan Ekonomi - Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) yang bakal dilancarkan Khamis ini menjadi konsep cadangan bersepadu yang berkeluasan 10,117 hektar di sepanjang 33 kilometer pesisir pantai.

"Melaka satu ketika dulu menjadi pusat tumpuan kepada pedagang yang datang daripada Eropah mahu pun China.

"Sebab itu saya yakin, kalau kita dapat bina satu pelabuhan laut dalam umpamanya, ia akan menjadi tarikan kepada semua pedagang untuk berlabuh di Melaka," katanya pada Majlis Sepetang Bersama Ketua Pengarang dan Pengarang Kanan Media di ibu negara, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad Datuk Syed Hussian Aljunid, Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit serta Ketua Pengarang dan Pengarang Kanan beberapa organisasi media.

Sulaiman berkata, setiap tahun lebih 100,000 kapal melalui Melaka dan dengan adanya pelabuhan baru dibina, beliau yakin ia akan menjadi tumpuan kerana terletak di lokasi strategik.

Katanya, dengan jangkaan siap dalam tempoh 15 tahun, ia akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih 5,000 pekerja pelabuhan.

"Daripada aktiviti penjanaan ekonomi sama ada daripada pelabuhan itu atau pun kapal-kapal yang dibaik pulih di limbungan, jumlah pekerja pasti akan meningkat. Tetapi ia bergantung kepada jumlah kapal yang berlabuh.

"Dalam keadaan biasa, untuk kakitangan pelabuhan saja, ia akan menyediakan lebih daripada 1,000 orang pekerja," katanya.

Beliau turut optimis pelabuhan di zon pembangunan ekonomi itu akan menjana pelaburan sekurang-kurangnya RM20 bilion.

Ditanya mengenai kesan pandemik Covid-19 kepada negeri itu, beliau berkata, kehadiran pelancong ke Melaka pada tahun lalu merosot 70 peratus iaitu sebanyak 5.2 juta orang berbanding 18.9 juta pada 2019.

"Selagi pandemik ini tidak berakhir, tahun ini kita sasarkan 6.2 juta pelancong. Kebanyakannya dari China, yang kedua terbesar ialah Indonesia dan yang lain-lain termasuklah dari Eropah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 9:21 PM