PENAMATAN perjanjian LLA boleh meningkatkan pendapatan teras daripada tanah ladang Felda.
PENAMATAN perjanjian LLA boleh meningkatkan pendapatan teras daripada tanah ladang Felda.

Kuala Lumpur: Penamatan Perjanjian Tanah (LLA) dan cadangan penerbitan sukuk oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bernilai RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan bagi melaksanakan pelan pemulihan antara cadangan diluluskan oleh Jemaah Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, laporan Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu Felda turut mencadangkan penstrukturan semula hutang dengan institusi kewangan dan meningkatkan daya berdikari peneroka.

"Dengan menamatkan LLA, ia boleh meningkatkan pendapatan teras daripada tanah ladang Felda," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, hasil laporan pasukan berkenaan berjaya mengenal pasti masalah utama yang dihadapi Felda dan penting untuk ditangani segera.

"Antara masalah utama yang dihadapi ialah struktur modal yang tidak mampan dan bebanan hutang tinggi berjumlah RM10.6 bilion.

"Keadaan ini juga berpunca daripada sumber pendapatan yang berkurangan terutama terimaan bayaran pajakan bagi 351,000 hektar tanah ladang dan perkongsian keuntungan yang rendah berbanding jangkaan di bawah LLA.

"Kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan turut menyumbang kepada masalah yang dihadapi Felda," katanya.

Kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu Felda yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Wahid Omar dan disertai Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh.

Pasukan itu juga adalah kesinambungan daripada Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April tahun lalu.

Katanya, kedudukan kewangan Felda dijangka mencatatkan aliran positif bermula 2023 dengan pelaksanaan inisiatif berkenaan.

"Felda akan kembali ke landasannya sebagai badan yang dihormati dan berdaya maju.

"Penyelesaian isu yang dihadapi Felda tidak akan lengkap tanpa pengukuhan tadbir urus serta kecekapan dalam menguruskan ladang.

"Sehubungan itu, lembaga pengarah serta pengurusan Felda hendaklah komited meningkatkan kecekapan pengurusan dan menambahbaik tadbir urus.

"Pelaksanaan cadangan ini oleh Felda akan dipantau secara terperinci oleh jawatankuasa pemantauan yang akan melapor kepada Perdana Menteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 9:07 AM