BAYARAN hutang peneroka juga akan distruktur semula oleh Felda.
BAYARAN hutang peneroka juga akan distruktur semula oleh Felda.
Oleh Amir Abd Hamid


Putrajaya: Pelan pemulihan Felda kini berada di landasan yang tepat dan dijangka membawa hasil positif pada 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keyakinan itu didorong oleh strategi baharu pelan pemulihan yang sedang dilaksanakan kerajaan khususnya dalam meningkatkan kecekapan dan penstrukturan kewangan.

Katanya, usaha itu termasuk rancangan Felda mengambilalih sehingga 90 peratus kepentingan dalam FGV Holdings Bhd (FGV) yang mana setakat ini agensi itu sudah pun memiliki 77 peratus pegangan saham di dalamnya.

"Pelan pemulihan ini mempunyai dua dimensi yang diluluskan oleh kerajaan pada 14 Oktober tahun lalu iaitu yang pertama untuk mengeluarkan sukuk dijamin kerajaan bernilai RM9.9 bilion.

"Tujuan sukuk ini pula ada dua iaitu yang pertama untuk mengurangkan beban hutang Felda sebanyak RM6 bilion dan kedua untuk membolehkan Felda membeli saham FGV. Jadi, apabila sukuk dikeluarkan akhir bulan ini, maka ia akan mengurangkan beban hutang Felda.

"Selain itu, strategi juga sedang direncanakan untuk memastikan Felda dapat menguasai sepenuhnya saham dalam FGV sebagai salah satu pelan pemulihan Felda," katanya dalam pembentangan pencapaian EPU Setahun Malaysia Prihatin di sini, baru-baru ini.

Pada Julai tahun lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan penubuhan pasukan petugas khas bagi mencari kaedah terbaik memastikan kemapanan kewangan dan kelestarian Felda.

Pelan Pemulihan Felda pula dilaksanakan pada 14 Oktober 2020 bagi menangani masalah kewangan dan memulihkan semula masalah hutang yang tinggi iaitu lebih RM7.6 bilion.

Mengulas lanjut Mustapa berkata, Felda masih membuka tawaran kepada pemegang saham FGV yang ingin menjual saham mereka sehingga 15 Mac ini.

Selain itu, Mustapa berkata, Felda juga akan menstruktur semula bayaran hutang peneroka dan akan mengumumkan mengenai perkara itu pada Mei depan.

"Kita akui peneroka sekarang dibebani hutang yang sangat tinggi dan kerajaan sudah buat keputusan menghapuskan kadar faedah untuk hutang ini.

"Oleh yang demikian, mereka perlu dibantu dengan mengurangkan jumlah hutang melalui penyelarasan akan diumumkan nanti," katanya.

Menurutnya, Felda juga sedang giat melakukan langkah-langkah dalam meningkatkan kecekapan dan penstrukturan semula kewangannya bagi memastikan kedudukannya kembali kukuh menjelang 2023.

"Menerusi pasukan petugas khas pemulihan Felda yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Wahid Omar, kita yakin Felda mampu dimantapkan semula dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 12:16 PM