PENGHANTAR makanan dianggap barisan hadapan negara. FOTO Asyraf Hamzah
PENGHANTAR makanan dianggap barisan hadapan negara. FOTO Asyraf Hamzah
Oleh Rosyahaida Abdullah


LEBIH 150 skrin (iklan) digital di seluruh negara digunakan foodpanda bagi menyampaikan mesej penghargaan buat penghantarnya yang setia bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Melalui jalinan kerjasama dengan Dentsu Aegis Network (DAN), Ketua Pemasaran foodpanda, Fabian Emanuel berkata, inisiatif itu bertujuan menzahirkan rasa terima kasih kepada penghantarnya yang dianggap barisan hadapan negara dalam memastikan rakyat kekal berada di rumah sementara terus berkhidmat dan memberi kemudahan kepada pengguna.

“Kami ingin semua penghantar foodpanda tahu kami berterima kasih dengan servis mereka dan menghantar setiap khidmat diberikan kepada masyarakat sepanjang tempoh ini.

“Justeru, kami berhubung dengan DAN dan memerah idea bersama bagi mencari kesesuaian merealisasikan hasrat ini dan diharap dapat menyampaikan mesej ini buat mereka ketika mereka bertugas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Mediabrands DAN, Yap Chee Wen berkata, menjadi keutamaan pihaknya untuk sentiasa membawa impak positif kepada komuniti, begitu juga dengan mesej yang cuba disampaikan foodpanda buat penghantarnya.

“Agak mencabar apabila diminta foodpanda memastikan mesej ini sampai kepada semua penghantarnya yang komited memastikan kita semua memperoleh makanan dengan mudah.

“Jadi kami cuba mendapatkan syarikat media berkaitan bagi merealisasikan projek ini dan penggunaan media DOOH (digital out-of-home) dipilih memandangkan ia saluran terbaik menyampaikan mesej kepada semua penghantar dengan cepat,” katanya.

Antara syarikat media yang terbabit dalam inisiatif ini termasuk Big Tree Outdoor Sdn Bhd, Spectrum Outdoor Marketing Sdn Bhd, BTSJ, Laguna De Bay Sdn Bhd dan Danwan Corporation Sdn Bhd.

Selain itu, media lain antaranya DMDC Media, ER Ads & Marketing, Ganad Media Sdn Bhd, Icandy Ads Sdn Bhd dan Lantern Media.

Pengarah Urusan Spectrum Outdoor, Henry Low berkata, pekerja di sektor penghantaran makanan semestinya golongan yang perlu dihargai berikutan mereka mengorbankan keselamatan sendiri demi memastikan makanan selamat diterima pengguna dalam keadaan bersih.

“Penghantar makanan juga pasukan barisan hadapan seperti kakitangan perubatan, polis dan tentera yang selayaknya diberi penghormatan atas sumbangan mereka,” katanya.

Pengarah Urusan Laguna De Bay, Eddie Song berkata, menjadi kebiasaan untuk kita hanya menyedari betapa pentingnya sesuatu perkhidmatan apabila berlaku keadaan paling sukar seperti sekarang.

“Perkhidmatan penghantaran makanan tentunya satu daripadanya. Kepada penghantar makanan dan semua individu di sebaliknya, kami sangat berterima kasih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 6:00 AM