GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Grab Malaysia (Grab) komited untuk terus menyokong komuniti rakan kongsi penghantarnya (rider) dan melaksanakan langkah pemerkasaan rakan penghantar, termasuk perlindungan semasa bekerja.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Grab berkata, pihaknya juga tidak pernah menurunkan kadar pembayaran terhadap rakan penghantarnya dan kebimbangan golongan itu ketika ini disebabkan gangguan pada sistem.

Katanya, ia dialami seorang rakan penghantar apabila menyedari terdapat percanggahan dari segi jumlah pembayaran.

"Syarikat sudah memperbetulkan perkara itu dan mengatasinya, membabitkan semua rakan penghantar yang terjejas melalui saluran komunikasi rasmi kami pada 21 Julai lalu.

"Kami memohon maaf atas kesulitan yang mungkin timbul kepada rakan penghantar kami dan ingin menggalakkan rakan penghantar menghubungi syarikat melalui Facebook atau mengunjungi Grab Driver Centre (GDC) jika mereka mempunyai sebarang pertanyaan lanjut.

"Kami juga ingin meyakinkan semua pengguna dan rakan kongsi peniaga bahawa Grab kekal komited menyokong komuniti rakan kongsi penghantaran kami di seluruh negara dan selama bertahun-tahun, kami memperkenalkan pelbagai usaha untuk menyokong rakan kongsi penghantaran," kata kenyataan itu.

Syarikat perkhidmatan e-hailing itu berkata, pihaknya melaksanakan langkah pemerkasaan dan perlindungan kemalangan peribadi percuma selain bekerjasama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memudahkan caruman serta insentif tambahan sehingga 10 peratus.

Syarikat juga membantu rakan kongsi menjimatkan perbelanjaan operasi mereka seperti diskaun petrol, penyelenggaraan kenderaan dan keperluan harian, malah memperkenalkan pelbagai promosi dan kempen seperti GrabUnlimited bertujuan membantu rakan kongsinya.

"Pek langganan dengan lebih daripada 50 baucar diskaun berbeza bertujuan bukan saja meningkatkan jualan peniaga, tetapi juga menyediakan lebih banyak pekerjaan untuk rakan kongsi penghantaran kami," menurut kenyataan.

Bagaimanapun, Grab turut meminta rakan penghantar melaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan dan syarikat itu sendiri jika menghadapi sebarang masalah.

Katanya, orang ramai turut dinasihatkan tidak berkongsi sebarang khabar angin atau dakwaan palsu bagi mengelakkan timbul perkara tidak sepatutnya.

Sementara itu, syarikat penghantaran makanan Foodpanda Malaysia ketika dihubungi mengenai himpunan 'Friday Delivery Blackout' berkata, buat masa ini tiada sebarang kenyataan akan dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 9:16 PM