Noorazura Abdul Rahman


SEMUA premis makanan dan minuman Muslim di Kedah dibenarkan beroperasi jam 3 petang hingga 8 malam sepanjang Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri,

Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, tempoh operasi itu tertakluk kepada pentadbiran serta arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing di samping berdasarkan situasi semasa.

Katanya, ia susulan kerajaan negeri membatalkan operasi bazar Ramadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun premis makanan dan minuman yang dibenarkan operasi dikehendaki menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran makanan yang berdaftar selain perlu menitikberatkan kebersihan penyediaan makanan.

“Bagi tujuan itu, kerajaan negeri menerusi portfolio saya sudah berbincang dan akan bekerjasama dengan Syarikat Foodpanda Malaysia Sdn Bhd, Sumhero Sdn Bhd (OdaMakan) dan Go Eat Sdn Bhd serta mengalu-alukan syarikat berkaitan yang sudi bekerjasama untuk menjayakan agenda ini,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Asmirul berkata, bagi peniaga yang menggunakan penghantaran sendiri, mereka boleh memohon surat kebenaran kepada PBT masing-masing mengikut syarat ditetapkan.

Justeru, pihaknya berharap dengan usaha berkenaan, ia dapat membantu memastikan kelangsungan ekonomi di Kedah.

“Peniaga dan usahawan di negeri ini perlu bersedia untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa supaya perniagaan mereka dapat berdaya saing dan maju,” katanya.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 8:54 AM