ZULHELMI (tengah) pada sidang media selepas bertemu dengan wakil FoodPanda Malaysia. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ZULHELMI (tengah) pada sidang media selepas bertemu dengan wakil FoodPanda Malaysia. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Sri Ayu Kartika Amri


KECEWA dengan perubahan mendadak skim pembayaran gaji baharu (Skim Pembayaran Jarak Jauh) oleh Foodpanda Malaysia Sdn Bhd (Foodpanda), Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) berharap skim baharu yang akan dilaksanakan itu dapat ditangguhkan dan disemak semula.

Pengerusi Penghantar, Zulhelmi Mansor berkata, pihaknya terkilan kerana sistem pembayaran Foodpanda yang sering berubah daripada skim mengikut tempahan kepada jarak tanpa pemberitahuan maklumat secara terperinci kepada penghantar.

Katanya, antara aduan yang diterima pihaknya kebanyakan penghantar Foodpanda tidak bersetuju mengenai perubahan terbabit berikutan banyak pengurangan daripada bayaran diterima dan hal ini memberi beban serta tekanan kepada penghantar.

"Rata-rata anak muda sekarang memilih menjadi penghantar makanan sebagai kerjaya untuk mencari rezeki demi meneruskan kehidupan waktu mencabar sekarang ini. Kita dapat lihat pelbagai latar belakang pendidikan termasuk pemegang ijazah turut menjadi penghantar.

"Sewajarnya, pihak syarikat menghargai mereka dengan sebaik mungkin.

"Difahamkan Foodpanda menukar lagi skim bayaran untuk penghantar yang mana pada 15 Jun lalu, syarikat baru saja menukarkan skim bayaran gaji baharu dikenali sebagai Skim Pembayaran Ikut Order (SPIO) kepada semua penghantar di Lembah Klang.

"Mengenai skim pembayaran jarak jauh itu, kami dimaklumkan bahawa Foodpanda Malaysia ada mengatakan ia dibuat kerana atas permintaan penghantar sendiri, walhal tidak ada sebarang perbincangan dan persetujuan daripada rider Foodpanda.

"Lebih mengecewakan sistem pengiraan jarak kilometer dari Foodpanda tidak mengikut jarak sebenar yang mana kami dapati kiraan sebenar di Google Maps ke PJS 1/50 sebagai contoh 5.6 kilometer, tetapi mengikut aplikasi penghantar menunjukkan 2.41 kilometer," katanya kepada media selepas menyerahkan laporan aduan kepada wakil Foodpanda di Pusat Perkhidmatan Pelanggan Foodpanda di Jalan Chan Show Lin, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Zulhelmi berkata, pihaknya tiada niat untuk menimbulkan kekecohan atau sebarang permasalahan, malah sebagai wakil penghantar dari seluruh negara, persatuan ingin mengetahui apakah tindakan susulan yang diambil pengurusan Foodpanda bagi menangani isu skim pembayaran demi kelangsungan penghantar mencari rezeki.

"Kami mohon pihak majikan untuk memanggil bersama wakil penghantar makanan yang berada dalam badan bukan kerajaan (NGO) bagi perbincangan bersama dalam membuat sebarang prosedur operasi standard (SOP) baharu.

"Ini kerana kita tidak mahu lagi mendengar rungutan daripada golongan di bawah. Malah, kami mahu melihat mereka ini dapat menunggang motosikal dalam keadaan selamat dan sentiasa gembira menjalankan kerja mereka di jalan raya," katanya.

Selain itu, pihaknya turut menerima aduan mengenai kekeliruan SOP penghantaran pesanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang mana pihak syarikat memaksa penghantar melengkapkan pesanan hingga ke pintu rumah walaupun rumah terbabit jenis bertingkat.

"Pihak syarikat menggunakan sistem Mesej Automatik yang mana ia dihantar terus ke aplikasi penghantar Foodpanda dan ini jelas mengingkari arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Semoga pihak pengurusan mengkaji semula aduan yang kami nyatakan ini," katanya.

Penghantar setakat ini mempunyai lebih 2,300 ahli terdiri daripada penghantar makanan dan barangan dari seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 2:24 PM